SEREMBAN – Sebagai tanda solidariti terhadap keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus, turut membuat keputusan sama.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Nazree memaklumkan bahawa keputusannya itu berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
"Keputusan ini selaras dengan keputusan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang telah mengumumkan peletakan jawatan beliau semalam dan juga tanda solidariti bersama keputusan Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu(Bersatu).
"Politik partisan adalah platform ibadah semata - mata dan ruang melakukan kebaikan.
"Maka khidmat bakti untuk ummah dan masyarakat boleh dilaksanakan dalam apa jua bentuk dan lapangan termasuk sama ada dengan berjawatan atau pun tidak,"katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sembilan memaklumkan yang parti itu terus komited dengan agenda berkepentingan rakyat.
Tambahnya, politik juga harus menjadi medan ilmu dan ukhwah serta kemampuan kepimpinan untuk meraikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam masyarakat majmuk di negara ini serta mencorak usaha -pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial yang seimbang serta adil untuk semua.
"Rakyat Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk mendapat kepimpinan dan kerajaan negeri yang lebih baik pada masa hadapan berdasarkan hikmah dan bijaksana rakyatnya.
"Terima kasih buat semua yang telah memberikan kerjasama dan dukungan sepanjang memegang amanah ini," katanya.