SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan untuk segera mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bagi melaksanakan proses peralihan kepimpinan sejajar dengan Perlembagaan parti.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu perlu dilakukan sebaik beliau kembali ke tanah air bagi meluluskan perletakan jawatan dan pelantikan kepimpinan baharu dapat dibuat.
Menurut beliau, dari sudut Perlembagaan PN, kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi belum dimuktamadkan meskipun menyatakan peletakkan jawatan itu berkuat kuasa esok.
"Itu kenyataan hasrat, dari segi peraturan ia belum berkuatkuasa kerana perletakan jawatan tertakluk kepada Perkara 8.3(1b) perlembagaan PN.
"Perkara itu menyebut 'sekiranya pengerusi meletak jawatan, perletakan jawatan itu hendaklah berkuatkuasa selepas ianya mendapat kelulusan Majlis Tertinggi yang akan dengan secepat mungkin memilih seorang pengerusi yang baru'," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengingatkan Perkara 7A(1) yang mewujudkan Majlis Presiden bagi membincang perkara besar mengenai PN.
"Maka adalah wajar 'Majlis Presiden' terlebih dahulu bersidang untuk mencapai kata sepakat mengenai halatuju PN itu sendiri.
"Semua proses yang tertulis dalam Perlembagaan ini wajiblah dipatuhi," katanya lagi.
Pada Selasa, Muhyiddin dalam menyataan melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa pada 1 Januari dan diikuti kepimpinan negeri termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PN Selangor dan Setiausaha Agung PN.
Tiga lagi Pengerusi PN negeri yang mengambil langkah sama ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).