KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebarang dakwaan yang mengatakan Warisan telah membuat keputusan mengenai perkara itu adalah tidak benar.
Iklan
Iklan
"Pada ketika ini, sebarang dakwaan atau kenyataan yang mendakwa Warisan telah membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak, adalah terlalu awal dan tidak tepat.
"Seperti semua urusan pilihan raya, Warisan akan membuat keputusan melalui perbincangan dalaman dan proses parti yang sewajarnya, dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Tambahnya, sebaik perbincangan dan keputusan dibuat barulah ia akan diumumkan secara rasmi oleh pihak parti.
"Sehingga itu, orang ramai dan pihak media dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada kenyataan yang telah disahkan dan dikeluarkan secara rasmi oleh parti," jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh PRK di dua kawasan tersebut susulan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dari Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 5 Disember lalu.