MERAK Jalanan tersenyum teruja apabila baca berita seorang ibu di Terengganu hamil lagi pada usia 51 tahun.
Biasanya bagi orang perempuan apabila dah masuk usia 40-an, selalunya dah mula ‘tutup kilang’ disebabkan faktor umur, hormon atau kesihatan.
Tapi Ayati Hussin dan suaminya tunjukkan bahawa rezeki Tuhan memang tak terikat logik manusia. Bila ALLAH kata jadi, maka jadilah.
Benarlah, rezeki sebegini paling berharga. Siapa sangka, walaupun dah kategori boleh keluar KWSP tetapi masih boleh mengandung lagi. Tahniah Merak Jalanan ucapkan, semoga ibu dan bayi sihat walafiat.
Rasanya bukan Merak Jalanan seorang yang tak sabar nak tengok wajah bayi bertuah itu, seluruh Malaysia pun mesti sama teruja. Bayangkan, keluarga ini dapat peluang sekali lagi, sementara ramai yang dah lama menanti.
Merak Jalanan terus teringat kepada Erra Fazira, primadona filem Melayu. Baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Mr. E selepas sekian lama hidup solo, akhirnya tahun 2025 Erra terbuka hati kembali bergelar isteri.
Selain kisah cinta, yang hangat diperbualkan adalah kecantikan dan kesihatan Erra yang persis anak dara. Gaya hidupnya yang aktif dan penjagaan diri yang konsisten jelas terpancar pada wajah dan tubuhnya. Ramai yang makan hati apabila tengok diri sendiri. Sabarlah ya.
Tanggal 9 Februari 2026, Erra akan berusia 52 tahun. Maka timbul persoalan, adakah Erra berpeluang hamil lagi? Tak mustahil. Bukti ibu Terengganu sudah menunjukkan, rezeki datang bila tiba masanya. Jika ada, Alhamdulillah. Jika tidak pun, tak mengapa.
Apa pun, soal zuriat adalah urusan ALLAH. Kita hanya mampu berdoa, bersyukur dan serahkan pada Yang Maha Mengetahui. Setiap takdir-Nya pasti ada hikmah.