MERBOK – Bermula dengan sebuah bengkel kecil yang mengambil upah menghasilkan sampan untuk nelayan tempatan, siapa sangka langkah permulaan sekitar tahun 1970-an itu berkembang sehingga ke generasi ketiga.
Md Ali Din, 76, berkata, beliau mula menceburkan diri dalam bidang pembuatan sampan sekitar tahun 1979, dan pada ketika itu hanya mahir menghasilkan sampan kayu melalui ilmu yang diwarisi daripada arwah bapanya.
Bagaimanapun, perubahan landskap industri perikanan yang menyaksikan penggunaan bot gentian kaca semakin meluas mendorongnya membuat keputusan besar untuk mendalami selok-belok pembuatannya.
“Ketika itu nelayan di kawasan ini mendapatkan bot gentian kaca dari Pinang Tunggal, Pulau Pinang kerana belum ada yang mahir membuatnya di sini.
“Dari situ saya sedar, kalau tidak berubah, kita akan ketinggalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Md Ali kemudiannya mengikuti kursus anjuran Jabatan Perikanan di Pusat Giat MARA Langkawi pada 1997 yang disertai 42 peserta, namun hanya segelintir berjaya menguasai kemahiran tersebut.
“Selepas tamat kursus, saya nekad mencari modal sendiri dan mula menghasilkan bot gentian kaca.
“Alhamdulillah, nelayan mula membuat tempahan dan ada juga tempahan daripada agensi kerajaan termasuk dari Langkawi, Kelantan dan Terengganu,” cerita beliau.
Mulai saat itu, Md Ali nekad untuk terus berbakti serta menyumbang kepada kelangsungan industri perikanan negara.
Walaupun tidak pernah membuat sebarang promosi, Md Ali mengakui menerima tempahan berterusan hasil kepuasan pelanggan serta promosi dari mulut ke mulut.
“Cabaran utama ialah mengekalkan kualiti, ketahanan bot serta keupayaannya bergerak laju dan stabil di dalam air,” jelasnya.
Bagaimanapun, sekitar 2018, beliau diserang penyakit yang menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda, sebelum menyerahkan sepenuhnya operasi pembuatan bot kepada dua anaknya, sekali gus meneruskan legasi keluarga ke generasi ketiga.
Anak keempatnya, Mohd Muzni, 38, dan anak kelimanya, Muzafar, 34, kini mengendalikan sepenuhnya bengkel pembuatan bot di Kampung Segantang Garam di sini.
Secara purata, mereka mampu menghasilkan sehingga empat buah bot sebulan.
Muzafar berkata, minat terhadap bidang itu mula berputik sejak kecil apabila sering melihat bapanya bekerja.
“Bapa beri peluang untuk cuba belajar dan dari situ saya teruskan sehingga kini, sudah lebih 10 tahun. Matlamat saya adalah untuk sambung legasi arwah datuk dan bapa,” katanya.
Sementara itu, Mohd Muzni berkata, bagi meningkatkan kemahiran, beliau mengikuti kursus pembuatan bot pada 2004 di Kuantan, Pahang sebelum menyambung kursus lanjutan di Kuala Perlis pada 2005.
“Memang ada cabaran seperti sentuhan gentian kaca yang menyebabkan gatal-gatal kulit, tetapi orang kata ‘alah bisa tegal biasa’.
“Lama-kelamaan dah lali, lebih-lebih lagi ia kini menjadi sumber ekonomi keluarga,” katanya.
Menurutnya, harga bot yang dihasilkan bergantung kepada saiz dan spesifikasi, iaitu sekitar RM8,000 hingga RM18,000 seunit.
Menurutnya, hasrat utama adalah untuk memastikan kemahiran pembuatan bot itu terus diwarisi kerana semakin kurang dipelopori generasi muda.
“Ini warisan yang tidak ternilai,” ujarnya.