KAYSERI – Dalam satu keputusan mahkamah yang menarik perhatian ramai, sebuah mahkamah di Turkiye pada 20 Disember 2025 memutuskan bahawa seorang suami dianggap melanggar kepercayaan perkahwinan hanya kerana menekan tanda suka (like) pada gambar wanita lain di media sosial, sekali gus memberi isteri hak untuk bercerai.
Kes itu difailkan di bandar Kayseri apabila seorang wanita yang dikenali sebagai HB menuduh suaminya,SB, bukan sahaja sering menghina dan memperlekehkan dirinya secara lisan, tetapi juga menghabiskan masa yang banyak di media sosial dengan menekan tanda like foto wanita lain dan kadangkala meninggalkan komen yang tidak senonoh.
SB menafikan tuduhan tersebut dan sebaliknya memfailkan permohonan cerai balas, mendakwa isterinya terlalu cemburu dan pernah menghina bapanya, menyebabkan reputasinya terjejas.
Selepas menimbang dakwaan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tingkah laku suami itu menjejaskan kepercayaan dalam perkahwinan dan memerintahkannya membayar nafkah bulanan, nafkah sementara serta pampasan kepada isteri.
Mahkamah antaranya memutuskan bahawa pihak suami perlu membayar sebanyak 750 lira Turkiye sebulan sebagai nafkah (sekitar RM80) serta 80,000 lira Turkiye sebagai pampasan (sekitar RM8,000)
Rundingan lanjut dan rayuan yang dibuat oleh suami untuk mengurangkan jumlah itu ditolak, dengan mahkamah menegaskan bahawa interaksi dalam talian yang kelihatan 'tidak berbahaya' sebenarnya boleh menimbulkan ketidakamanan emosi serta mengganggu keseimbangan hubungan perkahwinan.
Keputusan tersebut menandakan satu preseden baharu dalam Undang-Undang Turkiye terhadap kes perceraian, di mana aktiviti digital seperti like, komen dan interaksi media sosial lain boleh dijadikan bukti dalam prosiding penceraian, terutama apabila ia dilihat menjejaskan kepercayaan dan kesetiaan pasangan.
Seorang peguam tempatan memberitahu media bahawa rakyat kini perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial kerana tangkapan skrin, mesej dan semua interaksi digital mungkin dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan kesalahan setiap pihak dalam perkahwinan.-Agensi