Serangan udara Amerika Syarikat di Nigeria, ini yang anda perlu tahu

Iklan
Rakaman skrin daripada video yang dimuat naik oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menunjukkan pelancaran peluru berpandu dari sebuah kapal tentera laut, susulan pengesahan Presiden Donald Trump bahawa tentera AS melancarkan serangan “kuat dan maut” terhadap Nigeria,-AFP

LAGOS – Serangan udara yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas sasaran berkaitan kumpulan Daesh di barat laut Nigeria pada Hari Krismas terus mencetuskan persoalan mengenai strategi, sasaran sebenar serta implikasi operasi ketenteraan berkenaan.

Berikut ialah perkara utama yang diketahui setakat ini:

Iklan
Iklan

Siapa terlibat?

Presiden AS, Donald Trump, menjadi pihak pertama mengumumkan serangan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan awal dalam kalangan rakyat Nigeria mengenai kemungkinan pelanggaran kedaulatan negara itu.

Iklan

Bagaimanapun, AS dan Nigeria kemudiannya mengesahkan bahawa operasi tersebut dijalankan dengan kelulusan Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu.

Menteri Penerangan Nigeria, Mohammed Idris berkata, serangan itu dilaksanakan dengan “penglibatan penuh Angkatan Tentera Nigeria”.

Iklan

Kumpulan mana disasarkan?

Washington memaklumkan serangan menyasarkan militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh, manakala Pemerintah Afrika AS (AFRICOM) mengesahkan terdapat beberapa korban tanpa memperincikan sasaran tepat dalam kalangan pelbagai kumpulan bersenjata yang beroperasi di Nigeria.

Kerajaan Nigeria pula menyatakan dua kubu utama Daesh di dalam Hutan Bauni, di Kawasan Kerajaan Tempatan Tangaza, negeri Sokoto, menjadi sasaran.

Namun, penganalisis mempersoalkan pemilihan lokasi tersebut memandangkan wilayah barat laut Nigeria lebih terkesan oleh kegiatan kumpulan jenayah bersenjata atau penjarah, berbanding kumpulan jihad yang kebanyakannya beroperasi di timur laut negara itu.

Menteri Luar Nigeria berkata, negara itu berdepan pelbagai kumpulan pengganas dan kumpulan bersenjata, termasuk JNIM, ISWAP, Lakurawa dan Mahmuda.

Konflik jihad utama Nigeria sejak sekian lama tertumpu di timur laut, khususnya di negeri Borno.

“Jika mahu melancarkan serangan, ia sepatutnya bukan di kawasan yang paling kurang terjejas,” kata penganalisis keselamatan, Victoria Ekhomu, sambil menyifatkan Borno sebagai sasaran lebih logik memandangkan ia pusat konflik jihad Nigeria.

Walau bagaimanapun, pegawai AS dan Nigeria mengesahkan bahawa serangan susulan dijangka dilaksanakan.

Bagaimana serangan dilakukan?

Menurut pihak berkuasa Nigeria, AS menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan daripada dron Reaper bersaiz besar, yang ditempatkan di platform maritim di Teluk Guinea.

Serpihan peluru berpandu dilaporkan jatuh di kampung Jabo, Daerah Tambuwal, negeri Sokoto, serta di negeri Kwara, berhampiran sebuah hotel.

Kerajaan Nigeria menegaskan tiada orang awam cedera dalam insiden tersebut.

Kehadiran Daesh di Nigeria

Nigeria telah bergelut dengan pemberontakan jihad sejak 2009, yang dipimpin oleh Boko Haram dan kumpulan serpihannya, Islamic State West Africa Province (ISWAP).

Beberapa kumpulan lain yang mempunyai kaitan dengan konflik di timur laut turut muncul di barat laut Nigeria. Sebahagian penyelidik mengaitkan kumpulan Lakurawa di Sokoto dengan Islamic State Sahel Province (ISSP) yang aktif di Niger dan Mali, namun dakwaan itu masih dipertikaikan.

Kebimbangan turut meningkat terhadap kemungkinan kumpulan berkait Al-Qaeda, Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM), menembusi Nigeria susulan serangan di sempadan Nigeria–Benin pada Oktober lalu.

Mengapa waktu serangan jadi persoalan?

Trump sebelum ini menuduh kerajaan Nigeria membenarkan berlakunya “genosid terhadap penganut Kristian”, satu naratif yang sering digunakan kumpulan sayap kanan agama di AS dan Eropah.

Kerajaan Nigeria dan penganalisis bebas menolak dakwaan itu, dengan menegaskan konflik di negara tersebut mengorbankan orang awam Islam dan Kristian.

Penganalisis menyatakan pemilihan Hari Krismas sebagai waktu serangan mungkin bersifat simbolik.

Menurut Ekhomu, langkah itu menunjukkan Trump mempunyai agenda tersendiri dan memberi tumpuan kepada isu penganut Kristian.

Penganalisis keselamatan, Brant Philip, pula berpendapat serangan itu menandakan “permulaan simbolik operasi rasmi AS di Nigeria”, walaupun kesan operasi awal disifatkan terhad, dengan jangkaan tindakan lebih besar bakal menyusul.-AFP