RAMALLAH – Seorang penjarah Israel yang juga anggota simpanan tentera didakwa melanggar seorang lelaki Palestin yang sedang menunaikan solat menggunakan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di Tebing Barat, sebelum ditahan pihak berkuasa dan dikenakan perintah tahanan rumah, lapor The Times of Israel pada Sabtu.
Rakaman video yang disiarkan media Palestin pada Khamis menunjukkan individu terbabit, lengkap bersenjata api yang disandang di belakang, memandu ATV lalu merempuh seorang lelaki Palestin yang sedang menunaikan solat di tepi jalan berhampiran kampung Deir Jarir, utara Ramallah.
Tentera Israel (IDF) mengesahkan lelaki dalam rakaman tersebut merupakan anggota simpanan tentera.
Susulan kejadian itu, senjata miliknya dirampas dan khidmat ketenteraannya digantung sementara.
Menurut polis, suspek ditahan pada malam Khamis dan kemudiannya dikenakan perintah tahanan rumah selama lima hari.
Rakaman tanpa audio itu menunjukkan mangsa terjatuh dan terbaring di atas jalan sebelum penjarah berkenaan turun dari kenderaannya, menjerit serta memberi isyarat supaya mangsa meninggalkan kawasan tersebut.
Suspek kemudian dilihat memarahi pemandu sebuah teksi Palestin sebelum kembali menaiki ATV dan beredar.
IDF dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati anggota simpanan sama turut melepaskan tembakan lebih awal di dalam kampung tersebut ketika berpakaian awam, yang disifatkan tentera sebagai “pelanggaran serius terhadap bidang kuasa dan kuasa yang diberikan”.
Terdahulu pada hari sama, seorang lelaki Palestin muda dilaporkan cedera selepas penjarah Israel membaling batu dan melepaskan tembakan di kawasan kampung itu.
Dua rakaman video yang disiarkan media Palestin menunjukkan sekurang-kurangnya lima penjarah, dengan tiga daripadanya membaling batu manakala seorang lagi melepaskan tembakan.
Tentera Israel memaklumkan semua insiden terbabit sedang disiasat dan hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
IDF turut menegaskan bahawa pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan dan menuntut anggotanya mematuhi kod etika ketenteraan.
Jurucakap Polis Israel berkata, walaupun IDF menyiasat kejadian awal di Deir Jarir, insiden melibatkan ATV itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah yang tidak berkaitan dengan operasi ketenteraan dan diserahkan kepada Bahagian Tebing Barat Polis Israel.
Keganasan di Tebing Barat dilaporkan meningkat ketara sejak tercetusnya perang di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin (PA), lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat akibat tindakan tentera Israel atau penjarah sejak konflik bermula.
IDF turut merekodkan lebih 752 insiden keganasan penjarah dan jenayah bermotif nasionalistik sejak awal tahun ini, meningkat berbanding 675 insiden yang dicatatkan sepanjang tahun lalu. – Agensi