KOTA BHARU – Beberapa kawasan rendah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat dijangka mengalami banjir bermula tengah malam ini hingga 30 Disember susulan jangkaan hujan berterusan tahap Bahaya yang akan menyebabkan peningkatan paras air sungai.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, amaran tersebut melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar lembangan Sungai Golok.
Iklan
Iklan
Antara kawasan yang dijangka terjejas di Pasir Mas termasuk Kampung Tersang, Kampung Lanchang, Kampung Gual To’ Deh, Kampung Mak Ribi Jeram Perdah, Kampung Padang Licin, Kampung Bendang Perol, Kampung Jejawi, Kampung Siram, Padang Kijang, Tasik Cina, pekan Rantau Panjang, Kampung Lubok Gong, Kampung Gual Dalam, Kampung Tok Deh, Kampung Tok Rusa, dan Kampung Telaga Mas.
Sementara itu, di jajahan Tumpat, kawasan yang dijangka terlibat merangkumi Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong, dan Simpangan.
PRABN JPS turut memaklumkan bahawa banjir yang diramalkan berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan. Justeru, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana.
“Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir melalui laman sesawang Public Info Banjir atau saluran media sosial rasmi yang berkaitan,” menurut kenyataan itu. - Bernama