Peminat Thailand masih tak 'move on' libasan 'sunback' Azlan

Iklan
Azlan Alias - Foto fail Bernama

SUKAN SEA baru tamat lima hari lalu, namun Merak Jalanan perasan cerita sepak takraw masih hangat diperkatakan terutama di Thailand.

Peminat di sana nyata belum mampu move on daripada libasan sunback apit kanan pasukan kebangsaan, Mohamad Azlan Alias.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan perasan, beberapa laman Facebook yang memuat naik kandungan berkaitan sepak takraw Sukan SEA masih rancak menayangkan klip sedutan rejaman Azlan.

Video sama dikongsi berulang kali, seolah-olah ada sesuatu yang membuatkan mereka tidak jemu menontonnya.

Iklan

Apabila Merak Jalanan menjengah ke ruangan komen, barulah jelas gambaran sebenar. Rata-rata peminat Thailand 'tabik spring' dengan kepakaran Azlan melakukan sunback.

Libasan sunback atau dikenali sebagai maniam dalam kalangan komuniti sepak takraw di Malaysia sememangnya 'makanan' Azlan.

Iklan

Bagi peminat Thailand, libasan itu bukan sahaja kencang, malah sangat mengelirukan pertahanan lawan.

Malah, mereka mengakui libasan sunback cukup berbahaya kerana sukar dijangka dan hampir mustahil disekat apabila dilakukan pada sudut tepat.

Pujian itu hadir seiring kejayaan Malaysia menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan selepas mengalahkan Thailand 2-1 di pentas final serta emas regu lelaki menewaskan Vietnam 2-0.

Bukan mudah untuk peminat Thailand memberi pujian melambung kepada pemain Malaysia. Jadi bagi Merak Jalanan, ini satu pengiktirafan besar buat Azlan.

Apa pun, Merak Jalanan berharap Azlan kekal fokus, tidak hanyut dek pujian dan terus membawa momentum ini ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.