GEORGE TOWN – Isu pencemaran bau dan alam sekitar berpunca daripada sebuah kandang lembu haram di Changkat Bukit Gambir akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila penternak bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu di Balik Pulau.
Keputusan itu dibuat hasil daripada rundingan bersama wakil rakyat dan penduduk setempat berhubung masalah sejak lebih tiga bulan terakhir itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, penyelesaian itu dicapai menerusi pendekatan menang-menang tanpa menjejaskan punca rezeki penternak selain menjaga kebajikan lebih 300 rumah yang terjejas di kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan melibatkan wakil penduduk, dirinya sebagai ADUN dan penternak, susulan lawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A Rajendran ke kawasan berkenaan pagi Rabu.
“Kita faham ini sumber rezeki penternak tetapi dalam masa sama kawasan ini tidak sesuai untuk aktiviti ternakan kerana dikelilingi perumahan.
"Jadi kita ambil pendekatan rundingan supaya kedua-dua pihak tidak terkesan,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan bersama penduduk di pejabatnya di sini pada Rabu.
Menurut Kumaresan, kandang tersebut yang menempatkan lebih 10 ekor lembu dipercayai mula beroperasi secara aktif sejak kira-kira tiga bulan lalu dan dibina di kawasan berbukit berhampiran rumah penduduk.
Katanya, penduduk mengadu mengalami gangguan bau najis yang kuat selain pencemaran air khususnya apabila sisa ternakan mengalir ke sungai kecil yang bersambung ke sungai utama berhampiran kawasan perumahan.
“Penduduk memaklumkan najis dibuang dua kali sehari iaitu antara jam 8 hingga 10 pagi dan 4 hingga 5 petang. Apabila hujan, sisa tersebut masuk ke dalam sistem saliran hingga menjejaskan rumah di bahagian bawah.
"Ini isu alam sekitar yang serius dan tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau.
Beliau berkata, pihaknya bersama persatuan penduduk telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan penternak terbabit dan hasilnya penternak bersetuju untuk berpindah ke tapak baharu yang sedang disediakan di Sungai Pinang, Balik Pulau, dijangka siap pada Mac tahun depan.
Sementara menunggu proses perpindahan, Kumaresan berkata, penternak diminta melakukan pembersihan menyeluruh bagi mengurangkan kesan pencemaran dengan tempoh budi bicara diberikan hingga 31 Januari ini.
“Kerajaan Madani sentiasa prihatin. Kita tidak lepas tangan, sebaliknya berusaha mencari tanah sesuai supaya penternak boleh teruskan kehidupan mereka tanpa menjejaskan penduduk di sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau An-Nur Bukit Gambir, Noor Sallehin Othman yang mewakili penduduk merakamkan penghargaan kepada Kumaresan dan kerajaan negeri kerana mengambil tindakan proaktif menyelesaikan isu berkenaan.
“Penduduk bersetuju untuk bersabar kerana penyelesaian sudah dicapai.
"Kami lega kerana masalah ini akhirnya diberi perhatian dan diselesaikan secara baik,” katanya.
Tambahnya, persatuan penduduk telah menulis surat kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar berikutan terpaksa berhadapan dengan masalah pencemaran tersebut terutamanya ketika musim hujan.
"Selain pencemaran bau, kami juga berhadapan dengan masalah lalat.
"Kami sebagai penduduk di kawasan berkenaan, memang tidak selesa," ujarnya.
Isu kandang lembu itu sebelum ini dibangkitkan oleh penduduk melalui beberapa surat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat susulan gangguan bau serta kebimbangan terhadap pencemaran sungai di kawasan berkenaan.