SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang meneliti secara serius mengenai isu beberapa individu bergelar 'ustaz' menghadiri upacara berbaur pluralisme agama yang dianjurkan di gereja.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, susulan itu pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Menurutnya, dalam masa yang sama, Jakim bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan penilaian dibuat berlandaskan perundangan sedia ada.
"Jakim mengambil perhatian mengenai penularan isu berkaitan dakwaan penglibatan individu Muslim dalam program yang dirujuk sebagai “Interfaith Water Ceremony”, yang telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, individu tersebut bukan pegawai Jakim.
"Bagi memastikan penelitian yang adil dan menyeluruh, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Iqram Mohamad Noor bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu yang dibangkitkan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, pengguna Facebook, Ahmad Iqram yang juga pendakwah bebas memuatnaik beberapa hantaran mendedahkan mengenai perkara tersebut.
Ahmad Iqram menulis, bagi pihak geraja, program"Interfaith Water Ceremony" atau"Unity Water Ceremony" adalah simbolik penyatuan (unification) antara agama.
Tambah Sirajuddin, Jakim sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, dipohon membuat laporan rasmi kepada pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri," ulasnya.
Sementara itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan kenyataan media rasmi pada 18 Disember 2025 bagi menjelaskan isu dakwaan penyertaan pegawai JHEAIPP dalam program tersebut.
Kenyataan berkenaan memperincikan latar belakang penganjuran program, tujuan sebenar kehadiran pegawai agama Islam negeri serta konteks rakaman yang tular di media sosial.