MERAK Jalanan perhatikan satu isu kejiranan yang nampak kecil, tetapi boleh membesar menjadi barah senyap dalam komuniti perumahan ialah sikap segelintir individu yang gemar memberi makan kucing jalanan, namun menutup mata terhadap kesan yang terpaksa ditanggung jiran sekeliling.
Niat asalnya mulia. Setiap pagi atau petang, makanan diberi dan kucing-kucing datang beramai-ramai makan dengan penuh selera. Namun selepas kenyang, kucing-kucing ini tidak pulang ke alamat tetap mereka. Mereka bergerak bebas, meninggalkan bukan sahaja tapak kaki, tetapi juga najis di merata tempat.
Iklan
Iklan
Ada jiran mengadu najis kucing di atas bumbung kereta yang baru dicuci. Ada yang mendapati kasut sekolah anak dipenuhi najis sebelum Subuh. Ada juga yang terpaksa mencuci kerusi luar rumah berkali-kali, malah ada kes kucing kencing di atas karpet ruang tamu selepas menyelinap masuk. Semua ini bukan cerita luar biasa, tetapi realiti yang berlaku berulang kali.
Akhirnya, yang kotor bukan sekadar halaman rumah, tetapi hubungan kejiranan. Senyuman makin pudar, teguran makin dingin. Dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan, muncul perbincangan panjang berkaitan isu ini tetapi masih ada yang buat-buat tak faham.
Merak Jalanan ingin jelaskan, memberi makan kucing bukan satu kesalahan. Malah ia satu perbuatan yang wajar dipuji. Namun, perbuatan baik yang tidak disertai tanggungjawab hanya akan memindahkan masalah kepada orang lain.
Penyelesaian isu ini sebenarnya jelas. Jika mahu memberi makan, pilih lokasi sesuai dan jauh dari rumah orang. Usaha mengawal populasi kucing perlu diambil serius. Merak Jalanan percaya, kebaikan sebenar bukan sekadar niat, tetapi tidak meninggalkan 'najis' kepada orang lain.
Artikel Berkaitan