BACHOK – Seramai 18 pegawai termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari daerah Bachok dan Pasir Puteh berganding bahu membantu memindahkan seorang pesakit obesiti seberat 150 kilogram dari kediamannya di Teluk Kemunting ke Hospital Bachok, pada Selasa.
Timbalan Pengarah APM Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak berkata, pesakit wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu kemudiannya dibawa menaiki lori ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kita gunakan lori milik APM Daerah Pasir Puteh. Tindakan dan koordinasi dilakukan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar sepanjang operasi.
"Alhamdulillah, operasi ini berjalan lancar hasil kerjasama erat semua anggota yang terlibat," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, usaha tersebut mencerminkan komitmen APM dalam memberikan bantuan kecemasan serta sokongan kepada individu yang memerlukan rawatan perubatan khas.
Ujarnya, APM akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di negeri ini selari dengan misi dan visi jabatan.