KLANG - Agenda kelestarian bandar terus diberi keutamaan apabila Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengiktiraf sumbangan komuniti, agensi dan sektor swasta dalam pembangunan bandaraya itu.
Datuk Bandar, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penganjuran program tahunan, Majlis Anugerah Komuniti Mampan MBDK 2025 mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam mengimbangi pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kelestarian tidak boleh digalas oleh PBT semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan komuniti, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta sektor swasta sebagai rakan strategik,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, Klang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan perbandaran, perubahan iklim, risiko banjir, pembangunan industri serta peningkatan sisa pepejal yang memerlukan penglibatan semua pihak secara bersepadu.
Ujarnya, majlis berkenaan turut membuktikan komitmen MBDK untuk terus memperkasa tadbir urus bandar yang mampan dan responsif dengan menjadikan kerjasama komuniti sebagai tunjang pembangunan Klang pada masa hadapan.
Pada majlis berkenaan, sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan melibatkan 38 penerima, iaitu Rakan Strategik SDG menerusi inisiatif Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) dengan 19 penerima termasuk Rasuah Busters, Rakan Strategik SDG Cintai Sungai Klang (tiga penerima) serta Kebuniti Bangunan MBDK (16 penerima).
Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, pembabitan aktif PBT dalam kempen integriti dan melawan rasuah, khususnya melalui kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Rasuah Busters, mampu memperkukuh kepercayaan rakyat serta memastikan pembangunan komuniti dilaksanakan secara adil dan beretika.
“Melalui kerjasama dengan NGO, PBT dapat meluaskan jangkauan kempen integriti kepada pelbagai lapisan masyarakat.
"NGO berperanan sebagai rakan sinergi dalam menganjurkan program kesedaran seperti ceramah awam, bengkel integriti, forum komuniti dan aktiviti pendidikan di sekolah serta kawasan perumahan.
“Pendekatan ini membantu menyampaikan mesej antirasuah secara lebih dekat, berkesan dan berterusan kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, MBDK turut melancarkan program Sahabat Sungai sebagai pendekatan inklusif bagi melibatkan komuniti dalam usaha pemuliharaan sungai serta pengurangan risiko banjir di Klang.