PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menegur segelintir pihak agar tidak mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tahanan di rumah.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan selain kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
"Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Najib dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini," katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Beliau menegaskan, Kerajaan Madani kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa selain badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
"Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim," jelasnya.
Terdahulu Hakim, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Alice memutuskan bahawa tahanan rumah dalam permohonan bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.
Dalam penghakimannya beliau berkata, mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah mandamus untuk memaksa responden mematuhinya.
Menurutnya, Agong merupakan Raja Berperlembagaan dan melaksanakan kuasa serta fungsi mengikut peruntukan perlembagaan dan pelaksanaan prerogatif ihsan mesti dilakukan dalam kerangka undang-undang dengan kawalan dan had yang termaktub.