TEKA-teki berhubung status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka terjawab sebelum aksi terakhir Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, Mac depan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan dokumen lengkap berkaitan kes tersebut telah dihantar kepada badan perundangan sukan antarabangsa itu pada 18 Disember lalu.
Menurut beliau, pihaknya kini hanya menunggu tarikh pendengaran kes oleh panel CAS memandangkan dokumen yang diserahkan memerlukan masa untuk diteliti
"Sekarang ini saya boleh katakan memang laporan itu sudah berada di sana (CAS). Kita pun sedang menunggu kerana tidak tahu bila CAS akan bersidang.
"Memandangkan kita baru sahaja menghantar dokumen pada 18 hari bulan lalu, mungkin CAS mengambil sedikit masa untuk meneliti semua dokumen. Waktunya bila CAS hendak bersidang, itu bergantung kepada pihak mereka sendiri," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Kali Ke-4 FAM Bagi Penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Yusoff bagaimanapun optimis keputusan muktamad akan diperoleh sebelum skuad Harimau Malaya turun menentang Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan pada Mac ini.
Jelasnya, ia bagi membolehkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuktamadkan kedudukan pasukan sebelum proses undian bagi pusingan seterusnya dijalankan.
"Kalau dilihat dari faktor pertandingan memandangkan kita terlibat dengan Kelayakan AFC, perlawanan terakhir kita adalah pada bulan Mac bersama Vietnam.
"Jadi saya jangkakan keputusan mesti dibuat sebelum perlawanan akhir kita dengan Vietnam sebab selepas itu AFC mahu buat undian untuk pertandingan itu," ujarnya.
Tambahnya lagi, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC juga sedia maklum mengenai kepentingan keputusan tersebut memandangkan ia melibatkan pasukan yang sedang bersaing dalam kejohanan.
"Kita tahu AFC sudah maklumkan mereka perlukan keputusan sebelum perlawanan terakhir Malaysia. Jadi, kita boleh jangkakan keputusan memang akan keluar sebelum aksi terakhir itu nanti," katanya.