Jenazah legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam selamat dikebumikan

Iklan
Muhammad Aizat Hairi (dua dari kanan) mengaminkan doa ke atas jenazah bapanya, Allahyarham Zulharisam Awang yang juga legenda bola sepak Terengganu di Tanah Perkuburan Islam Mok Suri, Pekan Batu 6 hari ini. - Foto: Bernama

JENAZAH legenda bola sepak Terengganu Zulharisam Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Mok Suri, Pekan Batu Enam, di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Bekas kapten pasukan Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun pada 6.20 petang semalam di kediamannya di Kampung Wakaf Baharu di sini akibat penyakit dalaman.

Iklan
Iklan

Urusan pengebumian Allahyarham dihadiri lebih 300 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan yang memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Nur Bakti, Gong Badak di sini dengan diimamkan anak sulung Allahyarham, Muhammad Aizat Hairi.

Iklan

Muhammad Aizat Hairi mengimamkan solat jenazah bapanya, Allahyarham Zulharisam Awang yang juga legenda bola sepak Terengganu di Masjid Nur Bakti hari ini - Foto: Bernama

Muhammad Aizat Hairi, 19, semasa ditemui bersyukur urusan pengebumian lancar serta berterima kasih kepada mereka yang hadir dan mendoakan bapanya.

Iklan

Pelajar tahun pertama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang dalam jurusan Sains itu berkata, bapanya ada berpesan supaya menjaga ibu dan adik-beradiknya serta memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

"Ayah banyak menyembunyikan kesakitan kerana tidak mahu orang risau dan hanya berkongsi keadaan sebenar dengan ahli keluarga terdekat.

"Insya-ALLAH, saya akan terus berusaha menjadi tulang belakang keluarga dan memastikan amanah arwah ayah dipikul sebaiknya,” katanya.

Zulharisam yang bermain di posisi pertahanan pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 setelah menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Zulharisam yang juga Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi) Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meninggalkan isteri Nik Noratiza Abd Aziz, 47, dan tiga anak iaitu Muhammad Aizat Hairi, Nur Airin Farisha, 17, dan Muhammad Aidan Haidi, 12. - Bernama