Giat operasi pasca banjir, MTSP siap sedia gelombang kedua

Iklan
Sebahagian sukarelawan MTSP di hadapan rumah penduduk di Maran yang dibersihkan selepas terkesan akibat banjir baru-baru ini.

MARAN - Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) melaksanakan operasi pasca banjir secara bersepadu melibatkan beberapa kawasan terjejas di negeri ini khususnya di Maran dan Kuantan pada Ahad.

Naib Pengerusi I MTSP, Mohd Kamil Ibrahim berkata, operasi pasca banjir melibatkan sukarelawan MTSP dari seluruh daerah digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman penduduk, khususnya rumah-rumah dihuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga yang terkesan teruk akibat bencana itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MTSP telah berada dalam keadaan siap siaga lebih awal sebaik sahaja menerima laporan awal berkaitan situasi banjir.

"Bukan sahaja bagi penyaluran bantuan kecemasan, malah kita juga bersedia untuk operasi pembersihan pasca banjir sejurus air surut," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ketua Pemuda UMNO Pahang itu berkata, MTSP dari daerah Raub, Bera, Temerloh, Jerantut, Bentong dan Kuala Krau telah digerakkan bagi membantu kawasan terjejas di Maran, Paya Besar, Rompin dan Kuantan, Ahad lalu.

"Keutamaan diberikan kepada rumah-rumah yang memerlukan bantuan segera, khususnya kediaman golongan yang mempunyai kekangan fizikal,” katanya.

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan dan tindakan awal kerajaan negeri dalam membuat persiapan menghadapi bencana serta menyalurkan bantuan awal kepada rakyat yang terkesan.

Dalam masa yang sama katanya, penghargaan turut diberikan kepada seluruh pihak berkuasa, agensi berkaitan serta penduduk setempat yang berganding bahu membantu mangsa sejak peringkat awal bencana, sekali gus memastikan urusan pemindahan, keselamatan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

"Sebagai rakan strategik kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MTSP kekal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk mengambil maklum ramalan gelombang susulan yang dilaporkan, dengan perancangan rapi dan kesiapsiagaan berterusan.

" Dalam apa jua keadaan, MTSP akan terus bersedia untuk berada di lapangan, membantu sedaya upaya serta mempermudahkan urusan rakyat yang sedang diuji, kerana di saat masyarakat berada dalam kesulitan, di situlah tanggungjawab kemanusiaan perlu didahulukan," ujarnya.

Tambah beliau, berbekalkan pengalaman mengurus situasi banjir sebelum ini, kerajaan negeri bersama semua agensi terlibat berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.