GEORGE TOWN – Sebanyak 41 rangka manusia yang digali dari tapak timbunan kulit siput (shell midden) di Guar Kepah oleh ahli arkeologi British antara tahun 1851 hingga 1934 akhirnya akan dibawa pulang ke tempat persemadian asal pada Januari tahun depan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, rangka-rangka tersebut kini berada dalam simpanan Jabatan Warisan Negara selepas wakil jabatan itu ke Belanda untuk menerima artifak berkenaan.
Menurutnya, rangka berkenaan sebelum ini dipamerkan di National Natuurhistorisch Museum di Leiden, Belanda selama bertahun-tahun sebelum Kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Malaysia memulakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Belanda untuk membawa pulang kesemua rangka tersebut.
“Kita sedang menjadualkan sesi penyerahan rasmi pada Januari ini bersama Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Galeri Automotif, Jalan Macalister di sini pada Isnin.
Hon Wai berkata, rangka-rangka itu kini disimpan di Kuala Lumpur di bawah seliaan Jabatan Warisan Negara.
“Kita juga akan menjadualkan majlis perasmian rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada suku pertama tahun depan selepas menerima rangka-rangka ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan rangka-rangka tersebut di Galeri Arkeologi Guar Kepah sebelum galeri itu dibuka secara rasmi.
Galeri berkenaan pada asalnya dijadualkan dibuka pada akhir tahun 2024, namun ditangguhkan sementara menunggu kepulangan rangka-rangka bersejarah dari Belanda.
Pada 2017, satu rangka manusia yang masih berada di tapak Galeri Arkeologi Guar Kepah telah ditemui semasa kerja-kerja pembersihan bagi pembinaan galeri tersebut.
Rangka itu, yang diberi nama sebagai Penang Woman, ditemui dalam timbunan kulit siput C dalam keadaan hampir lengkap, namun bahagian kakinya rosak akibat kerja penggalian.
Rangka tersebut ditemui dengan tangan dilipat dan dikelilingi tembikar, alatan batu serta beberapa jenis kulit siput.
Ujian mendapati rangka Penang Woman itu berusia kira-kira 5,710 tahun.
Terdapat tiga timbunan kulit siput di tapak berkenaan iaitu A, B dan C, dan kesemua 41 rangka manusia itu digali oleh pihak British dari ketiga-tiga timbunan tersebut.
Timbunan kulit siput merujuk kepada longgokan sisa dapur yang kebanyakannya terdiri daripada kulit siput dan sisa makanan lain.
Ia menjadi petunjuk kepada penempatan manusia purba dan kadangkala digunakan sebagai tapak pengebumian.