DALAM usaha meneruskan pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, Keedsflix melancarkan ibu pejabat baharu di Puncak Alam, Selangor pada Sabtu, sekali gus meraikan pencapaian membuka lebih 300 cawangan di seluruh negara.
Pengasas Keedsflix, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, dengan pelancaran ibu pejabat Keedsflix baharu tersebut, pihaknya akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memperkenalkan inisiatif baharu.
“Antaranya pemerkasaan Modul Keeds Mandarin yang dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 di semua cawangan.
“Modul ini memperkenalkan asas bahasa Mandarin kepada kanak-kanak prasekolah melalui guru Melayu terlatih yang menjalani latihan intensif selama tiga bulan bagi memastikan kualiti dan kesesuaian dengan nilai Islamik,” katanya.
Tambah beliau, pada majlis sama, pihaknya turut merasmikan Portal Digital e-KQA (Keedsflix Quranic Academy) yang menyediakan kandungan video pembelajaran al-Quran berasaskan Modul Keeds Quranic.
“Keedsflix juga melancarkan Siri Animasi Pendidikan Keedsflix yang menampilkan watak Islamik Aisyah dan Noah, sebagai solusi ‘screen time’ bermanfaat dengan kandungan berunsur pendidikan, adab dan pembentukan akhlak,” katanya.
Ujar angkasawan pertama negara itu, pihaknya turut mengumumkan projek usahasama bersama Universiti Sains Malaysia dan SmartSens.Q bagi membangunkan modul pembelajaran al-Quran khusus untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) melalui pendekatan multisensori, sekali gus membuka dimensi baharu pendidikan awal Islamik.
Menurut Sheikh Muszaphar, pelancaran ibu pejabat baharu dan pencapaian lebih 300 cawangan merupakan bukti pertumbuhan jenama Keedsflix yang telah melahirkan 8,550 pelajar, 810 tenaga pengajar dan kira-kira 300 usahawan yang menyumbang dalam pertumbuhannya.
“Semua kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan rakan strategik, Keedspreneur, guru-guru dan komuniti ibu bapa di seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, dengan sokongan lebih 5,000 keluarga Muslim dan hampir 10,000 peluang pekerjaan, Keedsflix kini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 1,000 cawangan dalam masa terdekat.
Majlis perasmian turut dihadiri tokoh pembangunan wanita dan pendidikan, Datuk Seri Dr Zurainah Musa.