SEBERANG JAYA – Bermula dengan keberanian melawan arus ketika negara berdepan pandemik Covid-19, pasangan suami isteri berjaya membuktikan bahawa masakan tradisional Negeri Sembilan mampu mencipta nama di Pulau Pinang yang sinonim dengan legenda nasi kandar.
Itulah kisah kejayaan Shamsul Munir Safini, 41 bersama isterinya, Izyan Mohd Zaini, 30-an yang kini mampu tersenyum selepas restoran Lomaq Coffee yang diusahakan sejak 2020 semakin mendapat tempat di hati pelanggan tempatan dan pelancong luar.
Restoran yang memfokuskan menu masakan asli Negeri Sembilan itu mula mengorak langkah pada waktu sukar apabila kebanyakan pengusaha makanan memilih untuk memperlahankan operasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun kedengaran agak janggal membuka restoran masakan Negeri Sembilan di negeri yang terkenal sebagai syurga makanan, khususnya nasi kandar, Shamsul Munir melihatnya sebagai satu cabaran dan peluang yang perlu direbut.
Menurutnya, idea untuk membuka restoran tersebut tercetus selepas mendapati tidak banyak restoran di Pulau Pinang yang menyajikan masakan asli dari negeri Adat Perpatih itu.
“Semua orang tahu Pulau Pinang dikenali sebagai syurga makanan. Namun saya lihat tidak ramai pengusaha restoran yang memilih untuk menyajikan masakan dari Negeri Sembilan.
“Jadi saya mengambil cabaran itu dan mula membuka Lomaq Coffee pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di restorannya di sini.
Shamsul Munir berkata, sambutan yang diterima pelanggan jauh di luar jangkaan sehingga dalam tempoh tidak sampai setahun, beliau terpaksa menambah keluasan premis demi keselesaan pelanggan.
“Tidak sampai setahun, ramai yang mengenali Lomaq Coffee sehingga kami terpaksa menyewa satu lagi premis bersebelahan,” katanya.
Anak kelahiran Perlis itu turut mengakui, minatnya terhadap masakan Negeri Sembilan bermula sejak zaman persekolahan apabila beliau menuntut selama lima tahun di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan.
“Ramai yang bertanya mengapa saya tidak menjual masakan utara atau dari negeri kelahiran saya sendiri.
“Namun pada pandangan saya, makanan Negeri Sembilan juga tidak kurang menarik dan mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.
Mengulas cabaran memulakan perniagaan ketika PKP, Shamsul Munir yang juga bekas wartawan Sinar Harian berkata, keputusan tersebut dibuat berbekalkan pengalaman berniaga secara sambilan sebelum ini.
“Ketika banyak restoran mengambil langkah ke belakang, saya memilih untuk mencuba nasib walaupun berisiko,” katanya.
Bagi menghidupkan suasana seolah-olah menikmati hidangan di Negeri Sembilan, konsep hiasan dalaman Lomaq Coffee turut diberikan perhatian khusus dengan menampilkan suasana desa selain mural watak Tanjung Life dan Minangkabau hasil karya kartunis terkenal, Azmi Hussain.
Menariknya, restoran itu turut menampilkan model karikatur Ujang Aku Budak Minang bersaiz hidup (life size) yang merupakan satu-satunya di Malaysia dan dipinjamkan khas oleh Azmi.
“Watak Ujang Aku Budak Minang sangat sinonim dengan Negeri Sembilan, sebab itu ia diangkat sebagai konsep hiasan dalaman Lomaq Coffee.
“Pelanggan juga boleh mengambil kesempatan untuk bergambar dengan model karikatur tersebut sementara ia masih dipinjamkan di sini,” katanya yang juga bapa kepada empat anak.
Dari segi menu, Lomaq Coffee menawarkan lebih 50 pilihan juadah dengan masak lemak cili api daging salai sebagai menu istimewa selain aneka pilihan kopi premium bagi penggemar minuman berkualiti.
Kata Shamsul Munir, kejayaan di Pulau Pinang membuka lembaran baharu untuk mereka suami isteri apabila berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan kedua di Chuping, Perlis pada tahun lalu.
Menurutnya, konsep di Perlis berbeza kerana restoran tersebut beroperasi di kawasan kampung yang dikelilingi flora dan fauna selain terletak di tengah-tengah dusun harumanis.
“Di Perlis, kami mengetengahkan konsep alam semula jadi kerana ia sesuai dengan trend semasa yang mahukan kelainan serta suasana yang lebih santai dan selesa,” katanya.
Tambahnya lagi, restoran tersebut kini mula mendapat sambutan bukan sahaja daripada pelanggan tempatan malah pelancong luar yang berkunjung ke negeri itu.