SHAH ALAM - Aplikasi gaya hidup Islam, Muslim Pro memperkenalkan ‘Ramadan Re:Charge’ bagi membantu amalan umat Islam kekal konsisten mengharungi rutin sepanjang bulan puasa.
Inisiatif yang dirangka berasaskan realiti itu menggabungkan pelbagai alat sokongan keimanan, kandungan reflektif dan pengalaman komuniti yang direka tanpa menetapkan cara tertentu untuk menunaikannya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro, Nafees Khundker berkata, pendekatan itu memberi penekanan kepada sokongan keimanan yang realistik dan bersifat peribadi.
"Kami tidak mempersoalkan niat atau keinginan umat Islam untuk mengamalkan ibadah mereka sepanjang Ramadan namun yang kami fahami ialah mengekalkan niat itu sepanjang bulan boleh menjadi satu cabaran apabila seseorang perlu menyeimbangkan tugasan kerja, tanggungjawab keluarga, serta rutin harian.
"Ramadan Re:Charge adalah cara kami menyahut realiti ini yang bertujuan menyokong keimanan dengan pendekatan yang realistik, peribadi, dan penuh empati.
"Sama ada seseorang sudah tekun beribadah atau sedang mencari jalan kembali, peranan kami adalah menyediakan alat, kandungan, dan komuniti yang membantu mereka kekal terhubung tanpa sebarang tekanan atau perbandingan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, pengalaman al-Quran dalam aplikasi ini direka untuk menyokong penghayatan yang konsisten dan penuh kesedaran, membolehkan pengguna membaca, mendengar, merenung, atau menghafal mengikut kadar dan cara mereka sendiri.
"Ciri-ciri seperti sasaran khatam yang disesuaikan, penanda ayat, bacaan audio, dan alat refleksi membolehkan pengguna terus terhubung dengan al-Quran tanpa rasa tertekan untuk mencapai sasaran yang ketat.
"Selain itu platform Qalbox yang boleh diakses melalui aplikasi Muslim Pro akan menampilkan pelbagai kandungan reflektif khas Ramadan.
"Ia turut meneroka format kandungan baharu, terutamanya siri pendek (micro-series), bagi memenuhi permintaan penonton yang semakin meningkat untuk penceritaan episodik ringkas yang mudah disesuaikan dengan rutin harian sepanjang bulan Ramadan," katanya lagi.
Di Malaysia, kandungan tersebut merangkumi siri mikro tempatan Light of Transit serta karya reflektif berskala panjang seperti The Olive Tree That Remembered yang dibangunkan bersama Yayasan Restu.
Tambah kenyataan itu, ruang sosial Muslim Pro di Ummah juga akan menganjurkan pertandingan perkongsian foto peringkat global, mengajak pengguna merenung dan berkongsi detik-detik Ramadan dalam kehidupan seharian.
"Sepuluh pemenang akan dipilih untuk menerima hadiah Badal Umrah, memberi peluang kepada mereka untuk menghormati orang tersayang melalui ibadah yang dilakukan bagi pihak mereka.
"Ramadan kali ini, pengalaman pengguna di aplikasi Muslim Pro akan diperkaya melalui naratif ‘Ramadan Re:Charge’ yang menggabungkan pelbagai alat keimanan, kandungan dan pengalaman komuniti sepanjang bulan suci," katanya.
Tambah kenyataan itu, Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran paling penting dan aktif bagi Muslim Pro dengan lebih satu juta pengguna aktif di peringkat tempatan.