Zakat MAINPP yakin capai sasaran kutipan RM200 juta

Iklan
Mohamad (tengah) bersama peserta acara Zakat Fun Run 2025 yang diadakan pada Sabtu.

GEORGE TOWN - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) yakin akan mencapai sasaran kutipan RM200 juta yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, berdasarkan laporan semasa mendapati momentum kutipan yang positif itu memberi keyakinan sasaran berkenaan mampu dicapai sebelum berakhirnya tempoh pembayaran zakat pada 31 Disember ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM18 juta kepada RM190.1 juta yang direkodkan dari awal tahun sehingga hari ini berbanding RM172.9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kalau ikut laporan, sasarannya melebihi apa yang kita tetapkan. Contohnya sehingga hari ini, kutipan melebihi RM18 juta berbanding tahun lepas.

Iklan

"Kalau kita dapat kekalkan momentum tahun lepas yang menyaksikan kutipan RM172.9 juta, Insya-ALLAH sasaran mengutip hampir RM200 juta dapat dicapai," katanya selepas menghadiri program Kembara Santuni Asnaf di Sungai Ara di sini pada Ahad.

Mohamad menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika program Kembara Santuni Asnaf di Sungai Ara pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Mohamad yang juga yang Dipertua MAINPP berkata, bagi meningkatkan kutipan pada saat akhir tahun, MAINPP turut melancarkan Kempen Zakat Sprint Month yang menawarkan peluang memenangi hadiah utama berupa pakej menunaikan umrah dengan bayaran zakat serendah RM500.

Mengulas mengenai agihan zakat pula beliau berkata, Zakat MAINPP telah mengagihkan lebih RM171.53 juta zakat setakat 30 November lepas.

Katanya, jumlah itu bersamaan dengan 86 peratus daripada keseluruhan peruntukan agihan yang ditetapkan untuk tahun ini iaitu RM199.75 juta.

Mohamad (tengah) bersama peserta acara Zakat Fun Run 2025 yang diadakan pada Sabtu.

"Angka itu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan dana zakat disalurkan dengan pantas dan tepat kepada mereka yang berhak.

"Ia sekali gus membuktikan ketelusan dan profesionalisme institusi zakat dalam melaksanakan amanah umat," katanya.

Terdahulu, Zakat MAINPP mengadakan Kembara Zakat 2025 yang merupakan penganjuran berkonsepkan karnival yang menjelajah ke Daerah Barat Daya dengan misi utama merakyatkan zakat.

Program itu diadakan menerusi pendekatan santai, pameran, sukan dan aktiviti interaktif yang bertuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai proses agihan zakat, menyeru peningkatan kutipan dan menjadi medium mendekatkan institusi zakat dengan masyarakat.

Bagi merealisasikan misi tersebut pasukan zakat dan rakan strategik Kembara Zakat 2025 menyediakan rangkaian aktiviti yang padat dan menarik.

Antara pengisian menarik seperti penyediaan reruai zakat untuk meningkatkan kesedaran tentang kutipan zakat dan agihan, lengkap dengan kaunter kutipan bergerak bagi memudahkan urusan pembayaran pelbagai jenis zakat.

Mohamad menyempurnakan pelepasan Zakat Fun Run 2025 di Masjid Al-Huda Sungai Ara.

Selain itu terdapat juga kinik bergerak yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma dan Pasar Pasola yang menghimpunkan 40 reruai jualan makanan, termasuk 20 usahawan Asnaf, di samping aktiviti santai untuk kanak-kanak seperti 'Petting Zoo' dan 'Inflatable' (Soopa Doopa).

Kembara Zakat juga disemarakkan dengan Zakat Fun Run 2025 melibatkan 1,500 peserta dalam larian 5 kilometer (KM) yang dimulakan dengan senamrobik dan diakhiri cabutan bertuah.

Pada majlis sama, MAINPP turut menyampaikan saguhati kepada Jawatankuasa Kariah melibatkan 240 kariah di seluruh Pulau Pinang, dengan seramai 806 penerima dan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM504,200.

Mohamad membonceng motosikal ketika program Kembara Santuni Asnaf di Sungai Ara.

Mohamad berkata, program seumpama itu bukan sahaja bertujuan menggamit para pembayar zakat atau muzaki untuk menyegerakan pembayaran zakat, malah sebagai usaha berterusan menyantuni golongan asnaf fakir dan miskin dalam agenda pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.

"Ini antara program yang kita adakan bagi memastikan asnaf terbela, di samping memperkukuh pembangunan agama Islam dan sosioekonomi umat Islam di Pulau Pinang," jelasnya.

Beliau berkata, selain program turun padang, kesedaran mengenai kewajipan zakat turut diperkasakan melalui khutbah Jumaat serta saranan kepada sektor kerajaan dan swasta agar terus menyokong usaha meningkatkan kutipan zakat negeri.

"Dengan kutipan yang tinggi, kita dapat merancang agihan zakat yang lebih berfokus dan memberi impak besar kepada golongan yang memerlukan," katanya.