Rombakan Kabinet bukan gimik politik, masa Kerajaan Perpaduan ‘reset’ prestasi - Mahfuz

Iklan
Mahfuz Omar

Kerajaan tidak boleh terus mengulangi kesilapan mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum 'masak' sepenuhnya, kemudian terpaksa ditangguhkan apabila dibantah - Mahfuz

ALOR SETAR – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan peluang besar untuk melakukan ‘reset’ terhadap prestasi kerajaan, bukan sekadar pertukaran jawatan atau imbangan politik semata-mata.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, masalah utama kerajaan ketika ini bukanlah kekurangan reformasi, tetapi kegagalan menterjemahkan dasar yang baik kepada kehidupan rakyat sehingga manfaatnya tidak dirasai.

Iklan
Iklan

“Kerajaan tidak boleh terus mengulangi kesilapan mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum ‘masak’ sepenuhnya, kemudian terpaksa ditangguhkan apabila dibantah.

“Keadaan ini melemahkan keyakinan rakyat dan memberi peluru politik percuma kepada pembangkang,” katanya pada Ahad.

Iklan

Jelas Mahfuz, contoh paling jelas ialah isu rasionalisasi subsidi yang pada dasarnya merupakan langkah tepat demi kelangsungan fiskal negara, namun gagal dijelaskan dengan baik kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekalahan pilihan raya atau kemerosotan sokongan tidak boleh disederhanakan dengan alasan kerajaan terlalu reformasi atau belum cukup reformasi.

Iklan

“Kerajaan gagal menjelaskan siapa yang dilindungi, siapa yang selama ini bocor menikmati subsidi, dan bagaimana penjimatan dikembalikan semula kepada rakyat. Akibatnya, rakyat hanya melihat harga naik, bukan perlindungan yang diberikan,” ujarnya.

Mahfuz menggariskan beberapa pendekatan baharu yang perlu diambil selepas rombakan Kabinet, antaranya memastikan reformasi diuji dari sudut dasar, implikasi politik dan emosi rakyat sebelum diumumkan, serta menteri tampil sebagai jurucakap utama dasar.

Beliau melihat rakyat tidak menolak reformasi, tetapi menolak pendekatan yang tidak difahami dan tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

“Penyampaian kerajaan perlu beralih daripada angka dan istilah teknokrat kepada cerita sebenar kesan kepada rakyat. Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan juga wajib memperkukuh naratif dan jentera, bukan hanya bergantung kepada pengumuman dasar dari Putrajaya.

“Rombakan Kabinet ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sahaja betul dari segi niat dan dasar, tetapi juga mampu memenangi keyakinan dan hati rakyat,” katanya.