SHAH ALAM - Kerajaan negeri disarankan untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung status sebenar projek pembangunan hab e-sukan Selangor melibatkan pengubahsuaian bangunan hotel yang kini dibiarkan uzur dan berisiko kepada keselamatan awam di Seksyen 13 di sini.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, rakyat berhak mengetahui perkembangan sebenar sesuatu projek yang diumumkan secara rasmi dalam pembentangan bajet negeri tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
"Kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk punca kelewatan, pihak pelaksana dan garis masa baharu yang realistik berikutan ketelusan adalah asas kepercayaan.
"Selain itu, satu pelan tindakan jelas perlu dibentangkan kepada umum, merangkumi jadual kerja, fasa renovasi dan mekanisme pemantauan berkala supaya projek tidak terus tergantung tanpa hala tuju," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, libat urus dengan persatuan e-sukan negeri, pemain profesional, penggiat industri dan komuniti belia perlu dilaksanakan.
"Pembangunan ekosistem e-sukan tidak boleh digerakkan secara pentadbiran semata mata tanpa suara pemain di lapangan.
"Sekiranya wujud kekangan kewangan atau teknikal, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan model kerjasama strategik dengan sektor swasta atau institusi pendidikan bagi memastikan projek ini dapat direalisasikan secara mampan dan berimpak tinggi," cadangnya.
Mohamed Sukri berpandangan bahawa isu berkenaan perlu ditangani secara matang, berfakta dan berorientasikan penyelesaian berikutan pembangunan tersebut melibatkan peruntukan awam serta harapan besar generasi muda.
"Dunia e-sukan kini menjadi industri serius yang mampu melahirkan bakat profesional, membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi kreatif namun, idea yang baik tanpa pelaksanaan yang jelas akhirnya akan melemahkan keyakinan rakyat dan merencatkan potensi sebenar industri ini.
"Keadaan tapak yang terbiar, vandalisme, kemudahan rosak serta risiko keselamatan bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan negeri, malah menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus, pemantauan dan keutamaan pelaksanaan projek.
"Lebih membimbangkan, persatuan e-sukan negeri sendiri dilaporkan tidak dimaklumkan secara berterusan mengenai perancangan dan kemajuan projek ini," katanya.
Tambah beliau lagi, industri e-sukan bukan lagi isu yang boleh dipandang remeh kerana ia merangkumi ruang bakat, disiplin, ekonomi dan pembinaan karakter generasi muda, jika diurus dengan betul.
"Pemuda Pas Selangor percaya anak muda kini bukan sekadar mahukan janji dan pengumuman, tetapi perlaksanaan yang berkesan, berintegriti dan berorientasikan masa depan.
"Kami kekal komited untuk menyokong sebarang usaha kerajaan negeri yang benar benar membawa manfaat kepada belia, dalam masa yang sama akan terus menegur secara berhemah demi memastikan amanah rakyat dijaga dengan sebaiknya," katanya.
Media sebelum ini melaporkan selepas lebih setahun pembangunan e-sukan itu diumumkan, bangunan yang dicadangkan bagi projek itu telah dipenuhi semak-samun dan sampah selain keadaan siling runtuh serta kemudahan asas rosak dengan beberapa ruang kelihatan tidak diselenggara sejak sekian lama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi mengubah suai bangunan hotel ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025, tahun lalu.
Selain menjadi hab e-sukan, fasaliti itu juga akan menyediakan 'battle arena' mengikut standard antarabangsa dan menjadi tuan rumah bagi pertandingan e-sukan di pelbagai peringkat.