Elaun sara hidup RM2.40 sehari untuk mangsa banjir Indonesia

Iklan
Penduduk bergotong-royong mengedarkan bantuan makanan.

JAKARTA - Mangsa banjir dahsyat di Pulau Sumatera, Indonesia bakal menerima bantuan pemerintah selepas ia menolak penglibatan pihak asing kerana yakin mampu menguruskan sendiri krisis pasca bencana tersebut.

Menteri Sosial, Saifullah Yusuf berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan skim elaun sara hidup harian untuk penduduk terjejas.

Iklan
Iklan

Ketika ini, kira-kira 577,600 penduduk hilang tempat tinggal manakala lebih 147,000 kediaman musnah setelah angka kematian mencecah hampir 1,070 orang dan 190 dilaporkan masih hilang di wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.

Kawasan sawah padi yang musnah di Langsa, Sumatera Utara.

Iklan

"Elaun sara hidup selama tiga bulan akan diberikan kepada setiap keluarga sebaik sahaja ada perumahan sementara atau tetap sudah tersedia. Setiap ahli keluarga bakal menerima bantuan kewangan berjumlah 10,000 rupiah (RM2.40) sehari," jelasnya.

Jumlah elaun dicadangkan itu masih dalam perbincangan dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan Pratikno bagi memastikan ia memenuhi taraf hidup semasa.

Iklan

Pemerintah juga merancang untuk mengagihkan 3 juta rupiah (RM730) kepada isi rumah terkesan membeli perabot baharu dan keperluan penting lain yang musnah dibawa arus banjir.

Bendera putih dipacakkan di tepi jalan di kawasan yang memerlukan bantuan segera.

Selain itu, pampasan berjumlah 15 juta rupiah (RM3,652) akan diberikan kepada waris keluarga yang terkorban dan 5 juta rupiah (RM1,217) untuk mereka yang cedera parah akibat bencana tersebut.

Setakat ini, Kementerian Sosial sudah menyerahkan bantuan berjumlah lebih 100 bilion rupiah (RM24.3 juta) ke ketiga-tiga wilayah tersebut.

"Saya meminta maaf kerana logistik kami amat terhad dan ada bantuan yang masih tidak dapat dihantar ke beberapa kawasan terpencil. Kami cuba mengagihkan semua sumber yang ada dengan sebaik mungkin," kata Saifullah lagi.

Seorang lelaki menyediakan nasi goreng untuk mangsa di pusat penempatan sementara.

Media tempatan mendakwa pemerintah berdepan kesukaran untuk tiba di beberapa lokasi.

Di sebahagian kawasan di Aceh, penduduk terpaksa mengibarkan bendera putih sebagai isyarat kecemasan kerana sudah kehabisan sumber bekalan makanan dan kini hidup dalam kelaparan. - Agensi