Redah banjir paras paha, warga emas syukur ubi kayu laku keras

Iklan
Jusoh tetap menuai ubi kayu walaupun kebunnya digenangi air. - Foto Sinar Harian

KUANTAN – “Susah itu memang ada, tapi rezeki ALLAH tetap sampai,” kata seorang warga emas, Jusoh Abdullah yang bersyukur jualan ubi kayu laris meskipun ketika musim banjir.

Di sebalik kesukaran hidup ketika musim bah, petani berusia 76 tahun itu terus cekal mencari rezeki apabila hasil tanamannya menjadi buruan penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Jusoh berkata, permintaan terhadap ubi kayu meningkat ketara setiap kali musim tengkujuh, menyebabkan bekalan yang ada sering tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Dia telah mengusahakan tanaman ubi kayu dan jagung sejak lebih lima dekad lalu selepas meninggalkan pekerjaan sebagai pekerja kilang papan sekitar awal 1970-an.

Iklan

Jusoh - Foto Sinar Harian

“Dulu saya tanam jagung, lepas itu tanam ubi kayu... memang kerja saya jual ubi masa inilah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kebunnya yang digenangi air di Kampung Sri Damai di sini pada Sabtu.

Iklan

Bapa kepada enam anak itu memberitahu, dia tetap meneruskan rutin mencabut ubi walaupun terpaksa meredah air paras paha dan berdepan risiko lintah, sebelum dijual secara menjaja atau di gerai kecilnya.

Ujarnya, hasil dijual ubi boleh mencegah 40 hingga 50 kilogram sehari sepanjang musim banjir.

Jusoh menunjukkan ubi kayu yang ditanam di kebunnya di Kampung Sri Damai sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

“Harga sama saja, RM5 sekilogram..sekarang ubi tidak cukup, orang memang suka cari ubi waktu-waktu macam ini,” ujarnya.

Tambah Jusoh, kebanyakan ubi yang dijual adalah hasil tanaman sendiri, namun dalam keadaan tertentu, dia perlu mendapatkan bekalan daripada orang lain bagi menampung permintaan yang tinggi.