MELAKA - Seramai 15 warga Myanmar terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dalam satu operasi di perkarangan lobi sebuah hotel di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dibuat hasil risikan dan maklumat awam menerusi Op Pintas yang dijalankan sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dibantu Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
“Hasil operasi berkenaan, polis berjaya menahan 15 individu dipercayai warganegara Myanmar berusia antara 21 hingga 39 tahun di perkarangan lobi hotel berkenaan.
“Mereka disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Christopher berkata, dalam operasi itu polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai bertindak sebagai ejen.
Menurut beliau, kesemua suspek kini direman sehingga 15 Januari depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis memandang serius sebarang bentuk aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah diminta menghubungi talian IPD Melaka Tengah di 06-284 2222.