FIRMA guaman butik tempatan, Chan Ban Eng & Co (CBE), mencatat sejarah baharu dalam landskap perundangan negara dengan melancarkan sebuah buku rujukan berkaitan insurans liabiliti pengarah dan pegawai sempena meraikan lebih lima dekad perkhidmatan profesional mereka.
Buku berjudul Directors & Officers Liability Insurance: Selected Articles, Cases and Materials itu merupakan penerbitan pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik yang memberi tumpuan khusus kepada aspek perundangan dan kehakiman berkaitan insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai.
Karya tersebut ditulis bersama oleh Rakan Pengurusan CBE, JJ Chan bersama pakar global dalam bidang insurans D&O, Kevin LaCroix.
Buku berkenaan turut memuatkan Kata Pengantar oleh Tan Sri Datuk Zainun Ali, Pro-Canselor Universiti Malaya, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Dalam ucapan pembukaannya, Zainun berkata, penerbitan itu mengisi jurang penting dalam literatur perundangan serantau dan berpotensi menjadi rujukan utama kepada pengarah syarikat, ahli akademik, pengawal selia serta pembuat dasar di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
“Bidang insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai semakin relevan, namun sebelum ini kekurangan rujukan tempatan dan panduan kehakiman yang jelas di Malaysia serta di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan buku itu sebagai penerbitan perintis dan amat diperlukan kerana mampu memperkukuh kefahaman mengenai liabiliti korporat dan perlindungan insurans dalam kalangan lembaga pengarah, pengawal selia, syarikat insurans serta badan kehakiman.
JJ Chan sebelum ini diiktiraf dalam beberapa anugerah perundangan antarabangsa termasuk Asian Legal Business Asia’s Top 30 Litigators, Super 50 Disputes Lawyers dan Asia Business Law Journal A-List of Top Lawyers 2025. Beliau turut dinamakan sebagai “Peguam Kecuaian Profesional No. 1 di Malaysia” oleh Lexology Index Client Choice Awards 2026.
Beliau juga telah diprofilkan oleh institusi alma mater beliau, Inns of Court School of Law serta Gray’s Inn, London, termasuk dalam satu webinar yang akan datang— menjadikannya pengamal undang-undang pertama dari Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian.
Selain itu, beliau berkhidmat sebagai Pakar Bidang (Subject Matter Expert) bagi Asian Institute of Insurance dan Singapore College of Insurance.
Kevin LaCroix pula mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang insurans liabiliti Pengarah dan Pegawai dan dikenali sebagai pengarang The D&O Diary.
Analisis beliau sering dirujuk media antarabangsa seperti The New York Times, The Wall Street Journal dan Financial Times.
CBE dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa buku berkenaan tidak dijual secara komersial, sebaliknya diterbitkan khusus bagi tujuan akademik sebagai sumbangan kepada pembangunan ilmu perundangan serta pengukuhan tadbir urus korporat dan keberkesanan lembaga pengarah.
Salinan buku itu telah dipersembahkan kepada Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, menteri-menteri Kabinet serta universiti-universiti terkemuka di Malaysia.
Dalam majlis pelancaran tersebut, beberapa penerbitan dan penulisan pro bono beliau turut dikongsi, merangkumipelbagai bidang termasuk kecuaian perubatan, undang-undangkorporat dan komersial, serta insurans dan reinsurans.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri tokoh industri dan pemimpin sektor awam serta swasta, termasuk wakil badan pengawal selia, institusi penjagaan kesihatan, syarikat insurans dan reinsurans antarabangsa, selain organisasi tadbir urus korporat dari dalam dan luar negara.
Pelancaran buku itu, bersempena lebih lima dekad penubuhan CBE, mencerminkan sumbangan sgnifikan dan berterusan firma berkenaan terhadap pembangunan undang-undang dan kepimpinan korporat di Malaysia serta rantau Asia-Pasifik.