FARIDABAD - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan berhubung dakwaan merogol seorang penembak wanita berusia 23 tahun di sebuah hotel pada Rabu.
Ketua Balai Polis Sarai Khawaja, Rakesh Kumar berkata, kes berkenaan didaftarkan berdasarkan laporan mangsa, manakala suspek dikenali sebagai Satendra, Gaurav dan rakan wanita mangsa ditahan di premis hotel terbabit.
Menurutnya, mangsa tiba di Faridabad pada Selasa bersama rakannya bagi menyertai satu pertandingan.
“Pada Rabu petang, selepas pertandingan selesai, rakannya menghubungi Gaurav, seorang kenalan yang tinggal di Faridabad untuk menghantarnya ke stesen kereta api.
“Gaurav tiba bersama rakannya, Satendra. Selepas itu, keempat-empat mereka memutuskan untuk bermalam di Faridabad dan bertolak pulang keesokan hari,” katanya pada Khamis.
Menurut Kumar, mereka kemudian menempah dua bilik di sebuah hotel dan mengadakan pesta di salah satu bilik.
“Pengadu mendakwa sekitar jam 9 malam, rakannya turun ke bawah bersama Gaurav untuk membeli beberapa barangan.
“Ketika itu, Satendra yang berada di dalam bilik didakwa telah merogolnya," katanya.
Menurutnya, sebaik rakannya kembali, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada seorang kenalan lain sebelum mengunci suspek di dalam bilik dan tampil membuat laporan polis.
Susulan laporan diterima, sepasukan polis bergegas ke hotel berkenaan dan menahan ketiga-tiga suspek.
Kesemua mereka kemudian dibawa ke mahkamah bandar sebelum direman ke tahanan kehakiman bagi membantu siasatan lanjut.