“SISTEM pendidikan yang terpisah-pisah akan melemahkan usaha membentuk satu bangsa yang bersatu.”
Selepas lebih enam dekad merdeka, Malaysia seharusnya telah matang dalam mengurus perbezaan dan kepelbagaian. Realitinya, beberapa isu terus berulang dalam kitaran politik negara, bukan kerana ia belum difahami, tetapi kerana ia sering dieksploitasi.
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ialah antara isu yang paling konsisten diperlakukan sedemikian — disimpan, dikeluarkan semula dan dimanipulasi mengikut keperluan politik semasa.
Masalah utama bukan terletak pada kewujudan UEC itu sendiri tetapi pada siapa yang menguasai tafsirannya. Selama ini, perbahasan UEC terlalu lama dimonopoli oleh elit politik dan aktor berkepentingan, seolah-olah rakyat tidak cukup matang untuk menilai isu kenegaraan secara rasional.
Akibatnya, UEC jarang dibincangkan sebagai isu dasar dan perlembagaan, sebaliknya dipersempitkan menjadi simbol emosi, identiti dan ketakutan komunal.
Untuk memahami isu ini secara adil, kita perlu kembali kepada asas pembentukan negara. Malaysia sejak awal bukan dibina sebagai entiti homogen. Bahasa, budaya dan sejarah yang berbeza membentuk realiti masyarakat majmuk.
Namun kepelbagaian ini diikat oleh satu persetujuan bersama bahawa bahasa kebangsaan, pendidikan kebangsaan dan institusi awam berfungsi sebagai tapak penyatuan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.
Sejarah pendidikan negara melalui Laporan Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 telah menetapkan pendidikan kebangsaan sebagai asas penyatuan, berteraskan bahasa kebangsaan, kurikulum bersama dan peperiksaan nasional.
Pendidikan swasta dibenarkan, namun pengiktirafan kelayakan kebangsaan diletakkan dalam sistem bersama. UEC yang diperkenalkan pada 1975 ialah peperiksaan swasta yang sah, tetapi tidak diiktiraf sebagai kelayakan kebangsaan atas pertimbangan kenegaraan.
Perlembagaan Persekutuan tidak menolak kepelbagaian aliran pendidikan, namun meletakkan bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras pembinaan negara.
Namun isu dasar ini sering dimanipulasi sebagai alat politik komunal, sama ada dengan mengangkat UEC sebagai simbol keadilan atau melabelkannya sebagai ancaman kepada perlembagaan, sedangkan kedua-dua naratif ini bergantung pada emosi, ketakutan dan politik simbol.
Hakikat di lapangan pula jauh lebih kompleks. Tidak semua masyarakat Cina melihat UEC sebagai simbol perjuangan atau keperluan identiti.
Ramai yang memilih Sistem Pendidikan Kebangsaan, berjaya dalam kerangka nasional dan membina kehidupan sebagai warganegara yang berkongsi bahasa, ruang awam dan nilai sivik bersama. Namun suara sederhana ini jarang diberikan ruang kerana ia tidak menguntungkan politik identiti.
Di sinilah kaitannya dengan persoalan identiti kebangsaan. Malaysia tidak kekurangan kepelbagaian, tetapi masih bergelut membina nilai bersama yang benar-benar dikongsi.
Masalah ketidaksamarataan ekonomi yang berterusan turut memperlihatkan bagaimana isu struktur sering ditafsir melalui kerangka kaum dan agama.
Pendekatan ini membuka ruang kepada politik eksklusif dan apa yang digelar sebagai kezaliman majoritarianisme, di mana sesuatu hujah dianggap benar hanya kerana disokong majoriti. Dalam keadaan ini, pendidikan, ekonomi dan peluang sosial menjadi medan manipulasi, bukan lagi ruang penyelesaian.
Jika Malaysia benar-benar ingin melangkah ke hadapan sebagai negara bangsa yang matang, isu UEC mesti dibebaskan daripada jerat politik. Ia perlu dikembalikan ke tempat asalnya sebagai isu dasar pendidikan dalam kerangka kenegaraan.
Masa depan Malaysia tidak seharusnya ditentukan oleh siapa yang paling lantang di pentas politik, tetapi oleh rakyat yang memahami sejarah, menghormati Perlembagaan dan yakin bahawa pembinaan negara hanya boleh berjaya jika ia dibina bersama.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya