Hajiji terkejut ramai tidak tahu pemegang UEC terima biasiswa Sabah

Iklan
Hajiji menyampaikan watikah pelantikan Setiausaha Politik yang baru dilantik pada majlis tersebut di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua Setiausaha Politik yang baharu dilantik supaya memastikan inisiatif serta dasar kerajaan negeri Sabah disampaikan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, peranan Setiausaha Politik amat penting dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu kerajaan serta menteri masing-masing.

Iklan
Iklan

“Saya mahu semua Setiausaha Politik membantu kerajaan dan menteri masing-masing, khususnya dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan.

“Yang penting, dalam menyampaikan maklumat mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan bermula tahun hadapan,” katanya pada majlis angkat sumpah 18 Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Iklan

Hajiji berkata, berdasarkan pengalamannya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, beliau mendapati masih ramai rakyat tidak mengetahui pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan, walaupun ia telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform media.

Menurutnya, isu seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh kerajaan negeri sebelum ini, termasuk hakikat bahawa seramai 39 pemegang sijil tersebut telah dianugerahkan biasiswa kerajaan juga tidak diketahui oleh sebahagian masyarakat Cina.

Iklan

“Saya terkejut apabila ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri, walaupun pelbagai bantuan telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam.

“Saya juga hairan mengapa mereka tidak mengetahui bantuan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Sabah sebelum ini. Kerajaan negeri (diterajui GRS) telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi tujuan pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Katanya lagi, antara bantuan lain yang disediakan termasuk pemberian komputer riba percuma, bayaran yuran pendaftaran kemasukan universiti secara sekali bayar, subsidi perjalanan kepada pelajar universiti sama ada di dalam negeri atau di Semenanjung Malaysia untuk pulang ke kampung halaman semasa cuti.

"Turut diberikan bantuan kepada calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun, serta pembinaan 40 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan ditingkatkan kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semua ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Oleh itu, saya mahu Setiausaha Politik memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat ini kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita mahu rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri, supaya tidak timbul tuduhan bahawa kita hanya menabur janji kosong,” ujarnya.

Hajiji turut mengingatkan semua Setiausaha Politik supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.

“Saya mahu Setiausaha Politik melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya serta membantu menteri masing-masing dan kerajaan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk mendapatkan peruntukan pengurusan pejabat.

“Kita sebagai kerajaan yang adil akan mempertimbangkan, tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan,” katanya.