Uqasha dakwa dipukul Kamal ketika sarat mengandung, pernah buat 4 laporan polis

Iklan
Uqasha Senrose, Kamal Adli.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pelakon, Uqasha Senrose, mendedahkan bahawa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun perkahwinannya dengan aktor, Kamal Adli.

Uqasha, 33, memaklumkan beliau mengalami penderaan fizikal, emosi dan mental sejak awal perkahwinan, termasuk ditolak, dipukul serta ditarik rambut walaupun ketika itu sedang sarat mengandung tujuh bulan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau mempunyai bukti berupa gambar dan video berkaitan dakwaan tersebut.

“Dia tidak boleh langsung ditegur, tidak ada toleransi dalam menjaga anak dan tidak menjaga kebersihan rumah.

Iklan

“Rumah pula dibuat seperti rumah orang bujang dengan kawan lelaki keluar masuk. Saya tidak mempunyai privasi bersama anak perempuan saya,” luahnya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pada Khamis.

Menurut Uqasha, beliau sebelum ini memilih untuk berdiam diri dan tidak mendedahkan perkara yang dialaminya bagi menjaga aib suami serta keluarga.

Iklan

“Saya dikenali dan dia juga seorang yang dikenali. Saya cuba bertahan walaupun dia naik tangan, naik kaki, memaki, menengking dengan suara tinggi dan menolak badan secara kasar tetapi apabila adanya Uqaira (anak), dia masih dengan perangai yang sama.

“Kenapa saya minta (cerai)? Orang perempuan tidak akan minta cerai jika tiada sebab. Saya pentingkan kesihatan mental anak saya yang sering melihat saya ditengking sejak kecil.

“Selama ini saya berdiam diri dan memberitahu bahawa saya mahu berpisah secara baik kerana saya mahu menjaga air mukanya,” katanya lagi.

Uqasha yang ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian turut memaklumkan bahawa beliau pernah mengadu kepada keluarga mentuanya, namun hanya diminta supaya bersabar.

Dalam pada itu, Uqasha menafikan fitnah yang dilemparkan kononnya beliau tidak waras, sebaliknya menegaskan masih mampu mengurus dan membesarkan anak meskipun Kamal Adli didakwa culas dalam memberi nafkah.

“Saya sabar selama ini dengan fitnah kononnya saya burn out menjaga anak. Kalau saya tidak waras, saya tidak mungkin mampu menjaga anak saya seorang diri.

“Kenapa saya sukar menyerahkan anak kepada dia juga ada sebabnya. Selama ini saya tahu bagaimana dia culas soal nafkah. Orang kata kononnya dia tidak bekerja, tetapi saya yang mencari nafkah membesarkan Uqaira dan sehingga kini lampin serta susu semuanya saya beli sendiri,” katanya.

Sementara itu, peguam sivil mewakili Uqasha, Asheeq Ali Seth Alivi, memaklumkan bahawa anak guamnya telah membuat empat laporan polis berkaitan dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember lalu.

“Arahan yang kami terima adalah untuk meneruskan tindakan sewajarnya melalui proses Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta prosiding mahkamah sivil.

“Semua laporan melibatkan aduan didera, dipukul, ditendang dan dikasari. Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Kepada mana-mana pihak yang tidak bersetuju atau mendakwa kenyataan Uqasha sebagai fitnah, sila failkan saman fitnah terhadap Uqasha dan kemukakan ke pejabat saya,” katanya.

Pada prosiding permohonan perceraian yang difailkan Uqasha pada 1 Oktober lalu, kes kini melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan hakim syariah telah menetapkan 12 Januari tahun depan bagi prosiding hakam.