Polis siasat dakwaan laporan palsu terhadap jutawan hartanah

Iklan
Mohd Zain

SETIU – Polis membuka siasatan berhubung dakwaan laporan polis palsu yang didakwa dibuat ke atas seorang usahawan hartanah terkenal di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, kes berkenaan masih dalam siasatan dan tindakan pihak polis. Belum ada mana-mana pihak lagi yang telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, laporan terdahulu yang dibuat terhadap usahawan berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atau tiada tindakan lanjut.

Pada 12 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan, usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin membuat laporan polis di Balai Polis Jertih, Besut terhadap seorang lelaki kerana disyaki membuat laporan palsu ke atas dirinya.

Iklan

Menurut Azlan, ia membabitkan laporan polis terdahulu yang dibuat oleh individu berkenaan yang mendakwa beliau terlibat dalam penipuan urus niaga hartanah melibatkan sebidang tanah milik arwah bapa lelaki tersebut.

Susulan laporan itu, katanya, beliau telah dipanggil untuk siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan.

Beliau berkata, siasatan berkenaan kemudiannya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum diputuskan sebagai NFA, sekali gus membersihkan namanya daripada dakwaan tersebut.

Azlan turut mendakwa individu sama pernah membuat tuduhan berkaitan penipuan hasil jualan dua bidang hartanah sebelum ini, yang membawa kepada tindakan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Besut.

Menurutnya, mahkamah telah memutuskan beliau memenangi saman fitnah berkenaan dengan ganti rugi berjumlah RM590,000 pada 23 Mac lalu.