SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan seorang guru kaunseling yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, dua tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memaklumkan perkembangan itu kepada Hakim Datin Surita Budin pada prosiding keputusan representasi di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Beliau memberitahu, AGC hanya bersetuju menarik balik satu lagi pertuduhan terhadap Mohd Kharulnizam Muslin, 45, membabitkan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi murid perempuan berusia 11 tahun.
Susulan keputusan tersebut, Mohd Kharulnizam kini hanya berdepan satu pertuduhan amang seksual fizikal terhadap murid terbabit yang didakwa dilakukan di sebuah bilik kaunseling di sebuah sekolah di sini pada September 2023.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan memiliki 180 gambar dan klip video memaparkan penderaan seksual kanak-kanak yang ditemui di dalam sebuah komputer riba miliknya di sebuah rumah di Seremban pada 12 Disember 2023.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Norazihah berkata, pihak pendakwaan akan memanggil sembilan saksi sepanjang perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Januari depan bagi pengurusan kes manakala perbicaraan ditetapkan pada 1, 2, 10 dan 30 April.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu ketika prosiding pada 7 Februari lalu.