Dua lelaki dicekup edar bunga ganja RM1.3 juta guna khidmat kurier

Iklan
Amirul Izmeer menunjukkan gambar bungkusan yang mengandungi bunga ganja pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki diberkas selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis bunga ganja menggunakan perkhidmatan kurier dalam dua serbuan berasingan di Senai dan Johor Bahru, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Amirul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, hasil operasi tersebut pihaknya telah merampas 13.38 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM1.3 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 19 November, Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan menerima maklumat mengenai satu bungkusan mencurigakan dari luar negara sebelum melakukan penjejakan ke atas penerima di sebuah apartmen sekitar Johor Bahru.

“Hasil serbuan, seorang lelaki warga Filipina berusia 23 tahun yang bekerja sebagai operator kilang ditahan bersama rampasan lima bungkusan plastik lut sinar mengandungi bunga ganja seberat 135 gram bernilai RM14,112,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam, di sini, pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan cubaan menyeludup keluar dadah melalui perkhidmatan pusat kurier di sekitar Senai pada 26 November.

“Pemeriksaan ke atas dua bungkusan mendapati terdapat 24 paket mengandungi bunga ganja seberat 13.04 kg bernilai RM1.27 juta yang dipercayai untuk dihantar ke United Kingdom,” katanya.

Iklan

Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang bekerja dengan syarikat logistik ditahan kerana disyaki menghantar bungkusan terbabit.

Menurut Amirul Izmeer, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.