RMHC Malaysia sumbang geran tambahan RM480,000 untuk perubatan kanak-kanak

Iklan
Pengurus Besar, RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin (empat dari kanan) bergambar bersama penerima geran perubatan tambahan daripada RMHC di Rumah Ronald McDonald, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

SHAH ALAM – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyalurkan sumbangan tambahan geran perubatan berjumlah RM480,000 kepada enam organisasi kebajikan berkaitan hospital bagi membantu kanak-kanak kurang mendapatkan rawatan perubatan kritikal.

Enam organisasi kebajikan itu ialah Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA), Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TABTAR) UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Iklan
Iklan

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Nordin berkata, sumbangan tersebut bertujuan memastikan tiada kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan tercicir daripada menerima rawatan akibat kekangan kos.

“Perkataan paling sukar yang boleh diucapkan oleh seorang ibu bapa kepada anak ialah kami tidak mampu menanggung kos rawatan.

Iklan

“Tiada keluarga yang sepatutnya terpaksa memilih antara nyawa anak dan bil rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ramai pesakit hanya mengetahui jumlah akhir bil selepas rawatan kerana tiada anggaran awal diberikan. Gambar kecil: Mohd Nasri

Iklan

Ujar Mohd Nasri, dana berkenaan merupakan kesinambungan bantuan geran terdahulu pada September lalu, apabila RM300,000 telah disalurkan kepada enam organisasi kebajikan yang sama.

Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah geran perubatan RMHC sejak 2018 kini melebihi RM2.1 juta sekali gus, mencerminkan keprihatinan organisasi tersebut dalam memberi peluang kedua buat keluarga di seluruh negara.

“Geran perubatan ini adalah janji kami bahawa setiap ringgit merupakan peluang seorang kanak-kanak untuk sembuh, membesar dan kembali menjadi kanak-kanak.

“Kami akan berdiri bersama hospital dan tabung kebajikan supaya keluarga dapat menumpukan perhatian kepada perkara yang paling penting; iaitu berada di sisi anak mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur turut menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan daripada RMHC dalam misi tersebut.

“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga terbabit, malah memberikan anak-anak mereka peluang baharu untuk masa depan yang lebih sihat.

“Kami menantikan kerjasama yang lebih kukuh agar bersama-sama, kita dapat memastikan setiap kanak-kanak menerima rawatan menyelamatkan nyawa yang mereka perlukan,” ujar beliau.

Inisiatif lain RMHC Malaysia turut merangkumi Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile dan Program Pek Kembali ke Sekolah, bagi membantu menghapuskan halangan, mengukuhkan institusi keluarga serta menggalakkan penyembuhan bagi kanak-kanak memerlukan.