PATNA - Sebuah video tular memaparkan tindakan keterlaluan seorang menteri dalam satu acara di India.
Klip yang mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk warganet itu memaparkan perbuatan Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar yang tidak semena-mena menarik purdah dipakai seorang doktor wanita dalam satu majlis di Patna.
Insiden mengejutkan itu berlaku ketika Kumar sedang menyampaikan surat pelantikan kepada kumpulan petugas perubatan.
Kumpulan hak asasi berang dengan tindakannya meskipun ada segelintir yang mempertahankan beliau.
"Ia jelas satu bentuk serangan terhadap maruah, autonomi dan identiti seseorang wanita. Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima. Tiada individu berhak mengawal kepercayaan atau pakaian wanita Muslim.
"Pelanggaran itu menuntut kecaman dan akauntabiliti yang tegas. Tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang kepada wanita lain," tegas Pengerusi Lembaga Amnesty International India, Aakar Patel.
Ketika ini, banyak pihak termasuk parti pembangkang, Parti Kongres turut mempersoalkan kesihatan mental Kumar. - Agensi