PADA Selasa, ringgit menunjukkan prestasi lebih kukuh apabila diniagakan pada paras 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong sentimen positif terhadap prospek ekonomi domestik serta aliran masuk minat pelabur terhadap aset tempatan.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0890 berbanding dolar AS, lebih baik berbanding paras penutup 4.0930 pada Isnin.
Ia merupakan yang terkuat sejak 30 April 2021 ketika ringgit ditutup pada 4.0870 berbanding dolar AS, sekali gus mencerminkan pengukuhan ketara dalam tempoh hampir lima tahun.
Pengukuhan ringgit ini dilihat selari dengan jangkaan pasaran optimis termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kawalan kadar inflasi, imbangan perdagangan yang stabil serta pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia.
Ringgit juga berpotensi terus mengukuh dalam julat 4.05 hingga 4.08 berbanding dolar AS sekiranya sentimen positif global kekal dan tiada kejutan baharu daripada dasar monetari AS khususnya berkaitan hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed).
Bagaimanapun, momentum pengukuhan dijangka kekal berhati-hati memandangkan pergerakan ringgit masih sensitif terhadap faktor luaran seperti turun naik hasil bon Perbendaharaan serta sentimen risiko global yang boleh mengehadkan kenaikan mata wang serantau termasuk ringgit.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Nurul Syifaa Mohd Shakil berkata, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh dengan syarat kadar faedah Fed kekal rendah serta faktor tarikan terhadap mata wang tempatan dapat dikekalkan.
“Dalam jangka pendek, paras 4.05 adalah realistik khususnya jika sentimen pasaran global kekal positif dan tekanan ke atas dolar AS berterusan.
“Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, pengukuhan ini berkemungkinan berlanjutan sehingga suku pertama 2026,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, dari sudut luaran, kelemahan dolar AS turut memainkan peranan penting, selari dengan jangkaan pasaran bahawa dasar kadar faedah Fed semakin menghampiri fasa pelonggaran monetari.
“Jangkaan ini mengurangkan daya tarikan dolar AS dan mendorong pelabur untuk menilai semula aset di pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.
“Dari sudut domestik pula, aliran masuk dana asing terutama ke dalam pasaran bon dan ekuiti Malaysia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan makroekonomi negara,” jelasnya.
Nurul Syifaa berpandangan, perubahan jangkaan terhadap dasar kadar faedah Fed sememangnya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pergerakan ringgit.
“Apabila pasaran menjangkakan penurunan kadar faedah di AS, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia menjadi semakin kecil sekali gus menjadikan ringgit lebih menarik kepada pelabur.
"Namun, pengukuhan ringgit ini boleh berubah sekiranya Fed memberi petunjuk dasar yang lebih berhati-hati.
“Walaupun prospek ringgit dalam jangka pendek kekal positif, pergerakannya masih sangat bergantung kepada hala tuju dasar monetari AS serta kestabilan pelabur global,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Kewangan), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Nura Lina Md Elias berkata, pengukuhan ringgit dilihat sebagai reaksi positif pasaran terhadap gabungan faktor antarabangsa dan domestik yang menyokong pergerakan mata wang tempatan.
“Dari sudut sentimen global, nilai ringgit lazimnya dipengaruhi oleh aliran modal asing serta pergerakan dolar AS di samping kedudukan Malaysia sebagai antara pengeksport utama komoditi dunia.
“Sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia dan pengeksport getah asli ketiga terbesar, harga komoditi tinggi berpotensi menjana aliran masuk mata wang asing melalui eksport yang membantu mengukuhkan nilai ringgit,” katanya.
Beliau berpandangan, perubahan kekuatan dolar AS kekal sebagai faktor penilaian utama dalam menentukan arah pergerakan ringgit seperti yang dapat dilihat sepanjang tahun ini.
“Tahun 2025 menunjukkan ringgit mengukuh sekitar 5.9 peratus berbanding dolar AS, menandakan bahawa pengukuhan ini lebih didorong oleh kelemahan dolar AS, disokong oleh harga komoditi dan kekuatan asas domestik.
“Dalam konteks semasa, pengukuhan nilai ringgit lebih bersifat reaksi jangka pendek yang bergantung kepada sentimen global dan aliran ekonomi manakala kemampanannya memerlukan sokongan asas ekonomi domestik stabil dalam jangka panjang,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya ringgit terus mengukuh, keadaan itu berupaya membantu mengurangkan tekanan inflasi domestik melalui penurunan kos import bahan mentah sekali gus memberi kesan positif kepada harga pasaran dalam jangka masa pendek.
“Penurunan kos import dalam sektor pembuatan tempatan berupaya meningkatkan daya saing ekonomi melalui kos pengeluaran yang lebih rendah.
"Namun, dalam konteks eksport, pengukuhan ringgit boleh menjejaskan daya saing apabila barangan buatan Malaysia menjadi lebih mahal di pasaran antarabangsa.
“Pada masa sama, kuasa beli pengguna cenderung beralih kepada barangan import yang lebih murah manakala sektor perkhidmatan yang bergantung kepada input import mendapat manfaat daripada pengukuhan nilai ringgit,” katanya.
Nura Lina bagaimanapun tidak menafikan pergerakan ringgit turut berdepan risiko penurunan sekiranya berlaku kejutan luaran atau ketidaktentuan dasar yang menjejaskan keyakinan pelabur dan aliran modal.
“Aliran keluar modal yang mendadak boleh melemahkan ringgit secara ketara dalam tempoh yang singkat. Ketegangan geopolitik seperti peperangan, pertikaian perdagangan dan konflik diplomatik berupaya menjejaskan aliran modal serta mencetuskan ketakutan dalam kalangan pelabur.
“Kemerosotan ekonomi global di negara AS dan China pula memberi kesan secara berperingkat kerana prestasi eksport lazimnya mengambil masa untuk terjejas.
"Selain itu, ketidakstabilan dasar domestik yang sukar diramal turut meningkatkan risiko pasaran serta menjejaskan keyakinan pelabur dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.