Tindakan Fahmi Reza cetus ketegangan, lebih 50 laporan polis dibuat di Johor

Iklan
Aznan (kiri) menunjukkan laporan polis dibuat terhadap Fahmi Reza.

JOHOR BAHRU – Tindakan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta dilihat mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, hantaran Fahmi di media sosial yang didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika dibiarkan tanpa tindakan, perbuatan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial yang selama ini dipelihara bersama.

“Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara. Sebarang tindakan yang mencabar atau memperlekehkan institusi ini tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sehubungan itu, Aznan memaklumkan beliau telah membuat laporan polis bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On, bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Fahmi.

Katanya, laporan polis turut dibuat secara meluas di seluruh negeri Johor melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan belia peringkat negeri dan daerah, termasuk Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing, Majlis Belia OKU Johor dan beberapa persatuan belia lain.

Iklan

Selain itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian seperti Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat dan Kulai turut tampil membuat laporan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – antaranya dari Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok dan Semerah – juga telah mengambil tindakan sama.

“Saya dimaklumkan lebih 50 laporan polis telah dibuat, termasuk oleh ketua-ketua UMNO Bahagian dari Mersing, Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Labis dan beberapa bahagian lain.

“Sebarang cubaan untuk merendahkan, mempersenda atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi diraja adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Menurut Aznan, laporan polis itu bertujuan membolehkan siasatan segera, telus dan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 serta undang-undang berkaitan, bagi menegakkan kedaulatan undang-undang.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pihak agar lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, serta menghentikan sebarang bentuk provokasi demi memelihara keharmonian dan keamanan negeri serta negara.

“Isu ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa kes berkenaan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Menurut kenyataan itu, setakat ini PDRM Johor belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung perkembangan siasatan kes tersebut.