PUTRAJAYA - Kerajaan akan melangkah lebih berani mulai tahun depan termasuk dalam aspek penguatkuasaan serta menangani isu-isu berkaitan bahasa dan kaum yang selama ini dianggap sensitif atau kontroversi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, selepas hampir tiga tahun memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan, sudah tiba masanya kerajaan berdepan isu tertangguh secara lebih tegas demi kepentingan rakyat dan negara.
Malah dalam tempoh hampir tiga tahun ini, beliau menjelaskan, kerajaan berada dalam keadaan stabil meskipun wujud kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik sebelumnya.
"Dalam tempoh itu kerajaan telah mula memperkenalkan beberapa undang-undang penting yang menjurus kepada Akta Tanggungjawab Fiskal, rasionalisasi subsidi dan pembaharuan institusi.
"Saya berpendapat mulai tahun hadapan, sudah tiba masanya untuk kita melangkah dengan lebih berani dan isu tertangguh perlu ditangani dengan lebih tegas dan berani,” katanya ketika taklimat media bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa, di sini pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, langkah ke depan kerajaan selepas ini turut merangkumi keberkesanan agensi penguat kuasa, ketegasan dalam mengambil tindakan serta memastikan semua proses dan peraturan dipatuhi tanpa kompromi.
Selain itu beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh tunduk kepada naratif songsang atau suara sumbang berkaitan isu kaum dan agama yang boleh menggugat kestabilan negara.
Kerajaan juga katanya, perlu berdepan dengan lebih tegas dan tidak berlapik dalam isu berkaitan kaum, bahasa dan ekonomi.
"Kita tidak boleh terus bermain dengan sentimen perkauman atau agama yang akhirnya menghalang kemajuan negara," ujarnya.