Kabinet Madani: Pelaksanaan, koordinasi kunci kejayaan ekonomi Madani – Nor Azlan

Iklan
Nor Azlan Ghazali

SHAH ALAM - Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai menyeluruh dan jelas dari segi sasaran, namun kejayaannya amat bergantung kepada keupayaan kerajaan memastikan pelaksanaan yang terselaras dan berkesan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Nor Azlan Ghazali berkata, kerangka itu telah menggariskan tujuh sasaran utama, lima paksi kepada siling, lima paksi kepada lantai serta tiga komponen teras di bahagian tengah, termasuk reformasi perkhidmatan awam dan pendekatan whole of nation.

Iklan
Iklan

“Kalaulah Perdana Menteri dapat menggerakkan semua ini, saya rasa kepuasan itu akan ada. Rakyat akan yakin dan merasakan inilah yang kita nantikan,” ujarnya dalam segmen temu bual Dalam Kabinet Madani: Strategi Ekonomi dan Politik Untuk Tempoh Kurang Dua Tahun terbitan Astro Awani pada Rabu.

Nor Azlan berkata, sebagai ahli ekonomi beliau memberi tumpuan khusus kepada kerangka itu kerana ia menyediakan sasaran berangka yang membolehkan perubahan diukur, namun kejelasan tindakan dan mekanisme pelaksanaan menjadi persoalan utama.

Iklan

Menurutnya, masalah yang sering berulang dalam pentadbiran negara ialah isu penyelarasan apabila terlalu banyak kementerian melaksanakan agenda yang sama tanpa satu platform tunggal yang jelas.

“Boleh sahaja bila dihimpunkan nampak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) buat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar buat, masing-masing buat. Tetapi kalau dibiarkan begitu, akan timbul kecelaruan koordinasi,” katanya.

Iklan

Beliau memberi contoh pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) yang suatu ketika dahulu melibatkan lebih 20 kementerian, dengan semua pihak berhasrat membantu, namun akhirnya mewujudkan pertindihan dan ketidakcekapan.

Isu sama, jelasnya, turut berlaku dalam pembasmian kemiskinan dan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum penubuhan Majlis TVET, apabila sehingga 12 kementerian terlibat secara berasingan.

“Apabila tidak ada koordinasi, keberkesanan akan terhakis. Penyelarasan itu penting. Apabila tidak ada penyelarasan, pertindihan akan berlaku,” ujarnya.

Nor Azlan berkata, berdasarkan pengalamannya dipinjamkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan terlibat dalam Majlis Tindakan Ekonomi, masalah utama negara bukan kekurangan dasar atau dokumen, sebaliknya kelemahan pelaksanaan.

“Kita tidak ada masalah dokumen dan rancangan. Kita ada masalah pelaksanaan dan koordinasi untuk menggerakkan agenda-agenda ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu pasukan khas yang berdedikasi diwujudkan bagi menggerakkan tujuh sasaran, lima paksi siling, lima paksi lantai serta tiga teras utama Ekonomi Madani, dengan pelaporan berkala yang boleh diakses oleh masyarakat.

“Pasukan ini perlu jelas siapa buat apa, bila tindakan diambil dan apa hasilnya,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu reformasi perkhidmatan awam yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, namun masih kurang kejelasan dari segi sasaran dan pencapaian sebenar di peringkat pelaksanaan.

“Perdana Menteri telah menyebut perkara-perkara yang jelas, termasuk tidak mahu lagi melihat orang beratur panjang. Jadi setiap perkara yang disebut itu perlu difokuskan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Nor Azlan menegaskan pendekatan whole of nation bermaksud tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak kepada menteri semata-mata, sebaliknya melibatkan sektor swasta, ahli akademik dan media.

“Ahli akademik seperti kami bertanggungjawab memberi penjelasan, membantu dan menegur. Media juga bertanggungjawab. Kita bercakap perkara yang sama dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Beliau yakin sekiranya pendekatan itu dilaksanakan secara konsisten, negara akan bergerak ke arah yang lebih baik dan kerangka ekonomi Madani akan dihargai oleh rakyat.

Dalam temu bual yang sama, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Taufik Yaakub, turut senada bahawa Malaysia tidak ketandusan dasar, namun berdepan kelemahan dari segi pelaksanaan yang efisien di peringkat bawah.