SHAH ALAM – Sentimen rakyat yang berlegar di media sosial susulan rombakan Kabinet pada Selasa tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara berhemah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara sentimen yang dibangkitkan termasuklah persoalan mengenai pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan kaum Cina.
“Sentimen rakyat dalam kalangan netizen mengenai rombakan Kabinet. Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan dilantik daripada seorang berbangsa Cina (DAP) dan Timbalan Menteri juga daripada seorang berbangsa Cina (GRS)?
“Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan kepada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Tambahnya, sentimen lain turut membangkitkan pelantikan Timbalan Menteri Agama yang dikaitkan dengan beberapa isu kontroversi termasuk kes Zara, dakwaan berkaitan hutang scam emas RM14 juta serta amalan doa dan ibadah.
Selain itu, beliau berkata, turut timbul persoalan sama ada pelantikan seorang aktivis PKR sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) mampu merealisasikan agenda tersebut.
“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruang media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi fakta tentang komposisi kaum dan parti-parti gabungan kerjasama dalam rombakan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Asyraf Wajdi, dari segi komposisi kaum, kalangan menteri yang dilantik terdiri daripada 17 orang Melayu, Cina (5) dan India (2), manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah masing-masing lima dan tiga orang.
Menurutnya, lantikan timbalan menteri pula merekodkan seramai 10 orang Melayu, Cina (5), India (2), Bumiputera Sarawak (7) dan Bumiputera Sabah (6).
Beliau memaklumkan, bagi komposisi parti-parti gabungan pula, seramai sembilan menteri dilantik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (5), Amanah (2), Barisan Nasional (BN) (8), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (5) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (1).