'Drama PN semakin karut, kelakar dan kebudakan' - Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa drama politik dalam Perikatan Nasional (PN) semakin mengarut, kelakar dan kebudak-budakan.

Rafizi berkata, perkara itu susulan kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yasin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN.

Iklan
Iklan

“Majlis Presiden sebenarnya seperti Mursyidul Am. Dalam Pas sudah ada, sekarang mahu dilaksanakan dalam PN pula. Jadi, maksudnya jika perkara itu diteruskan, Muhyiddin akan menjadi Mursyidul Am PN.

“Sebab itu saya rasa ia jadi mengarut, bubar sahajalah. Analogi tepat untuk situasi tersebut adalah penjaga gol meletakkan jawatan, tiba-tiba minta tiang gol dimansuhkan,” katanya dalam Podcast Skandal Yang Belum Selesai Episod 33.

Iklan

Sebelum ini, pengunduran Muhyiddin dan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk di peringkat negeri daripada PN, memberi isyarat jelas bahawa gabungan itu berada di ambang krisis politik terbesar sejak ditubuhkan lima tahun lalu.

Ibarat retak menanti belah, ketegangan dalam gabungan yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) itu kian parah susulan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin Bersatu sebagai protes terhadap isu yang membelenggu kerjasama politik mereka dalam PN.

Iklan

Krisis politik dalam gabungan itu mula ketara apabila berlaku pergolakan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis sehingga menyaksikan pertukaran Menteri Besar daripada Pas kepada Bersatu.

Tambah beliau, ketegangan politik dalam PN dilihat berjangkit dan mencetuskan pergaduhan dalaman yang serius.

Jelasnya, walaupun diumumkan kononnya isu dalaman PN telah selesai, namun hakikatnya perkara sebaliknya berlaku dan ia seolah-olah tiada kesudahan.

“Bermula dari Perlis, ia berjangkit menjadi pergaduhan besar, kemudian ‘selesai’ kononnya. Keesokannya muncul pula struktur baharu, tiada lagi pengerusi PN, tetapi wujud Majlis Presiden kononnya untuk ‘menentukan dasar’ dan Majlis Eksekutif bagi ‘mengurus hal ehwal harian’.

“Masalahnya, apabila politik sudah jadi seperti ini, struktur bukan untuk membina dasar. Struktur dijadikan alat untuk menyelesaikan ego, melindungi krisis dan memberi gambaran semua pihak ‘menang’ tanpa menyelesaikan apa-apa.

“Jika pemimpin sendiri tidak mampu mengurus rumah sendiri, jangan hairan orang mula mempersoalkan bagaimana negara ini mahu diurus,” katanya.