KUALA LUMPUR - Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lepas tidak boleh diundur, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Bagaimanapun beliau bersama kakitangan kementerian akan meneliti mana-mana perkara dalam perjanjian perdagangan didapati tidak adil kepada Malaysia supaya ia dapat dirunding semula.
"Apa yang sudah ditandatangani, kita tak boleh 'reverse' (undur balik). Tetapi yang kita nak tengok bersama-sama MITI ini, kita (nak) tengok manakah benda-benda yang kita boleh 'ask for renegotiation' (minta untuk dirunding semula).
"Ia membabitkan mana benda-benda yang tidak adil. Pasal ini adalah bukan benda yang ia ada titik noktah. Anda perlu berunding. Sesuatu yang tidak adil kepada kita, kita akan runding," katanya selepas sesi 'clock in' sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di MITI, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa yang baru dilantik menerajui jawatan tersebut memaklumkan akan memberi tumpuan untuk menilai semula strategi perlindungan ekonomi negara rentetan perubahan ketara landskap global termasuk dilakukan oleh negara maju.
Menurutnya, sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap ekonomi negara tidak berkembang dengan begitu signifikan, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan pertumbuhan dari 2015 hingga 2024.
Kehadiran beliau di MITI, termasuk perkara yang dirancang untuk dilaksanakan, bukan bertujuan mencipta perubahan drastik atau keajaiban segera, sebaliknya setiap usaha perlu dibuat berdasarkan data dan statistik.
Beliau berpandangan, strategi untuk mempertahankan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara berhemah tanpa perlu diumumkan secara terbuka, sebaliknya melalui dasar dan pelaksanaan berkesan.