SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menghormati sepenuhnya keputusan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merehatkan beliau sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka.
Menurut beliau, keputusan Biro Keadilan PKR tersebut dibuat berlandaskan Perlembagaan dan tradisi parti.
Shamsul Iskandar menyifatkan, pelantikan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka adalah langkah bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran gerak kerja parti di peringkat negeri.
"Saya akan terus memberi tumpuan memperkukuh cabang serta menyumbang kepada kekuatan PKR Melaka secara keseluruhan.
"Saya memberi sokongan penuh kepada saudara Adam Adli dalam menjalankan amanah sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka dan percaya beliau mampu memimpin dengan baik," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Biro Politik PKR memutuskan supaya Timbalan Pengerusi MPN Melaka, Adam Adli memangku tugas Pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa 15 Disember 2025.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, ketetapan itu dibuat susulan keputusan parti untuk merehatkan Shamsul Iskandar daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN Melaka.
Menurut Dr Fuziah lagi, Adam Adli akan menjalankan tanggungjawab sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka sehingga dimaklumkan kelak.
Beliau menegaskan, fokus utama adalah memperkukuh organisasi parti, menyusun jentera dan memastikan PKR terus relevan serta dekat dengan rakyat Melaka.
"Sementelahan pula tahun 2026 akan dilangsungkan Kongres Parti dan juga Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka," ujarnya lagi.
Justeru, Shamsul Iskandar menyeru pimpinan kekal muafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa serta simpang siur serangan bertubi-tubi bertujuan untuk menggugah kepimpinan Presiden.