JOHOR BAHRU – Paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini menunjukkan trend meningkat setakat pagi Rabu, namun masih berada di bawah paras bahaya.
Berdasarkan Jadual Paras Air Sungai yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat merekodkan bacaan tertinggi iaitu 19.41 meter, hampir mencecah paras bahaya 19.95 meter.
Keadaan sama turut direkodkan di Sungai Segamat Kecil dengan paras semasa 36.72 meter berbanding paras bahaya 37.20 meter.
"Di daerah Tangkak pula, beberapa lokasi di sepanjang Sungai Muar dan Sungai Kesang turut menunjukkan peningkatan paras air.
"Antaranya Sungai Muar di Simpang 5 Darat yang mencatat bacaan 4.55 meter, manakala Sungai Kesang di Kampung Seri Makmor merekodkan paras air 3.16 meter," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, di Kluang, paras air Sungai Melantai di Kampung Bentong berada pada 20.81 meter, hampir kepada paras bahaya 21.60 meter.
Di Mersing pula, Sungai Endau di Kampung Labong dan Sungai Tenglu Kecil masing-masing mencatatkan paras 1.83 meter dan 1.31 meter, dengan trend menaik.
Beberapa lokasi lain termasuk di Batu Pahat, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar turut merekodkan peningkatan paras air sungai, namun masih berada dalam paras terkawal.
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan ( SK) Pusat Air Tawar Endau, di sini menjadi pusat pemindahan pertama dibuka di negeri ini menempatkan mangsa banjir selepas hujan berterusan selama dua jam pada awal pagi Rabu.
Berdasarkan laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 120 mangsa banjir daripada 11 keluarga dari Kampung Hubong dan Kampung Air Tawar dipindahkan sehingga jam 8 pagi Rabu.