Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perkukuh integriti negara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan disifatkan sebagai langkah yang tepat memperkukuhkan sistem integriti negara.

Menurut Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam memastikan prinsip keadilan ditegakkan tanpa kompromi.

Iklan
Iklan

"Pindaan itu penting bagi menutup kelompangan undang-undang yang membuka ruang kepada pelaku jenayah rasuah dan salah guna kuasa untuk menunggang status 'pemberi maklumat', seterusnya membina naratif palsu seolah-olah mereka adalah wira sedangkan mereka adalah sebahagian daripada masalah rasuah itu sendiri.

"Amalan sebegini bukan sahaja mencemarkan semangat perlindungan pemberi maklumat, malah merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem keadilan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Danish berkata, perlindungan pemberi maklumat tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi penjenayah sebaliknya mesti kekal sebagai mekanisme untuk melindungi individu yang benar-benar berani tampil mendedahkan salah laku demi kepentingan awam.

"Saya yakin pindaan ini akan memperjelaskan pemisahan antara pemberi maklumat tulen dan pelaku jenayah yang cuba melarikan diri daripada tindakan undang-undang, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.

Iklan

"Saya juga menyambut baik jaminan bahawa aspek keselamatan, kerahsiaan dan perlindungan kepada pemberi maklumat yang sah serta keluarga mereka akan terus diperkasakan, selari dengan prinsip keadilan dan hak asasi," katanya.

Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan, bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan.