Kenderaan lebih 5 tan dilarang lalu jambatan angkat mulai 1 Januari 2026

Iklan
Palang penghadang ketinggian setinggi 3.5 meter dipasang di laluan masuk dan keluar Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Kenderaan dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) atau Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5 tan dan had ketinggian lebih 3.5 meter dilarang melalui jambatan angkat (drawbridge) bermula 1 Januari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif T1 Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, penguatkuasaan palang penghadang ketinggian setinggi 3.5 meter di laluan masuk dan keluar jambatan angkat akan dilaksanakan bermula tarikh tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengawal pergerakan kenderaan berat dan memastikan pematuhan kepada Seksyen 86(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang tidak membenarkan kenderaan dengan muatan 5 tan dan ke atas merentasi mercu tanda ikonik Terengganu itu.

"Penguatkuasaan ini penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya selain melindungi integriti struktur Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang merupakan infrastruktur penting serta ikon negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Jelas beliau, semua kenderaan terlibat dikehendaki menggunakan laluan alternatif iaitu Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir untuk menghubungkan kawasan Kuala Nerus dengan pusat bandar Kuala Terengganu.

"Laluan alternatif penyaluran dan kawasan parkir khas, khususnya untuk bas pelancong yang berkunjung ke kawasan drawbridge turut disediakan," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, sebagai langkah awal, papan tanda amaran had muatan dan papan kenyataan berkaitan akta serta undang-undang berkaitan telah dipasang di jalan-jalan utama menuju ke jambatan berkenaan.

"Paparan amaran had ketinggian menerusi skrin LED turut disediakan di kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa peka terhadap had yang ditetapkan.

"Orang awam dan pengguna jalan raya boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penguatkuasaan tersebut melalui saluran media sosial rasmi Kuala Terengganu Drawbridge atau menghubungi pihak Pengurusan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, T1 Properties Sdn Bhd," katanya.